Skuad B-23 tundukkan Melaka FC 4-1

Skuad B-23 tundukkan Melaka FC 4-1


Nafuzi Zain. Foto Malaysia NT

SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara meneruskan momentum positif dalam siri perlawanan persahabatan menjelang kempen Piala ASEAN B-23 apabila membelasah pasukan Liga Super, Melaka FC 4-1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Selasa.

Pengendali Harimau Muda, Nafuzi Zain meluahkan rasa puas hati terhadap peningkatan yang ditampilkan anak-anak buahnya, namun mengingatkan masih banyak ruang perlu diperbaiki sebelum kejohanan bermula 15 Julai ini.

“Saya rasa kita baru berlatih lebih kurang seminggu. Tapi dari hari ke hari kita nampak peningkatan, terutama dari segi pemahaman pemain terhadap apa yang saya mahukan dari sudut permainan,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan.

Dalam aksi tersebut, dua jaringan disumbangkan penyerang muda berbisa, Fergus Tierney, manakala satu gol masing-masing dijaringkan oleh Muhammad Aliff Izwan Yuslan dan Faris Danish.

Kemenangan tersebut merupakan kemenangan kedua skuad muda negara selepas menewaskan PDRM FC 1-0 dalam aksi persahabatan pertama pada Sabtu lalu.

Selepas ini, Harimau Muda dijadual berdepan satu lagi pasukan Liga Super, Negeri Sembilan FC pada Jumaat ini sebelum bertolak ke Indonesia bagi menghadapi kejohanan sebenar.

Untuk rekod, Malaysia akan memulakan saingan Kumpulan A menentang Filipina pada 15 Julai, diikuti Brunei pada 18 Julai sebelum menutup aksi kumpulan menentang tuan rumah, Indonesia pada 21 Julai di Jakarta.



Source link

OR

Scroll to Top