Awalan (tengah) ketika sidang media pada Isnin.
SKUAD boling padang negara meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik pada Piala Dunia 2025 yang akan berlangsung di Bukit Kiara dari 4 hingga 8 November ini.
Presiden Persekutuan Boling Padang Malaysia (MLBF), Datuk Awalan Abdul Aziz berkata bagi mencapai sasaran itu, pasukan negara perlu sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat emas.
Menurutnya, setiap pingat yang dimenangi akan menyumbang mata keseluruhan dengan emas bernilai 250 mata, perak 175 mata dan gangsa 125 mata.
Bagaimanapun, beliau tidak menetapkan acara tertentu untuk dijadikan sandaran emas kerana enggan memberi tekanan berlebihan kepada mana-mana pemain.
“Kita tidak mahu bebankan tekanan hanya kepada individu atau pasangan tertentu. Dengan menetapkan sasaran keseluruhan, tanggungjawab itu akan dikongsi secara bersama dalam pasukan,” katanya pada Isnin.
Sebagai rekod, Malaysia bakal diwakili oleh Izzat Shameer Dzulkeple, Muhammad Soufi Rusli, Emma Firyana Saroji dan Nurul Alyani Jamil dalam kejohanan tersebut.
Sebanyak tujuh kategori akan dipertandingkan melibatkan acara perseorangan lelaki dan wanita, beregu lelaki dan wanita, serta tiga kategori para — perseorangan lelaki, perseorangan wanita dan campuran. — Bernama
Ringkasan AI
- SKUAD boling padang negara meletakkan sasaran untuk menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik pada Piala Dunia 2025
- Pasukan negara perlu sekurang-kurangnya membawa pulang satu pingat emas untuk mencapai sasaran
- Setiap pingat yang dimenangi akan menyumbang mata keseluruhan dengan emas bernilai 250 mata
- Presiden MLBF, Datuk Awalan Abdul Aziz tidak menetapkan acara tertentu untuk dijadikan sandaran emas
- Malaysia diwakili oleh Izzat Shameer Dzulkeple, Muhammad Soufi Rusli, Emma Firyana Saroji dan Nurul Alyani Jamil





