Awalan (dua dari kiri) bergambar bersama atlet sukan Lawn Bowls, Emma Firyana (kiri) dan Soufi Rusli (kanan) pada sidang media penganjuran Kejohanan 7 NationS Lawn Bowls Invitation 2026 yang akan berlangsung dari 15 hingga 18 Februari, di Stadium Juara, Kompleks Sukan Negara Bukit Kiara. Foto Bernama
KEHEBATAN skuad boling padang kebangsaan mendapat perhatian di pentas antarabangsa apabila Malaysia dijemput menyertai siri perlawanan ujian menjelang Sukan Komanwel Glasgow 2026, yang akan berlangsung pada hujung April ini.
Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz berkata selain Malaysia, siri ujian itu menghimpunkan tiga pasukan terbaik dunia iaitu Australia, Scotland dan England.
Beliau menyifatkan pemilihan Malaysia yang merupakan satu-satunya wakil dari Asia membuktikan peningkatan prestasi konsisten skuad kebangsaan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
“Saya sendiri terkejut apabila dimaklumkan kita dipilih menyertai siri ujian ini. Jika melihat kepada kedudukan semasa, tiga pasukan teratas dunia dalam kalangan negara Komanwel ketika ini ialah Australia, Scotland dan England.
“Sepatutnya mereka memilih pasukan di ranking keempat atau kelima dunia, namun mereka memilih Malaysia yang berada di kedudukan ketujuh (satu perak dan satu gangsa) pada edisi 2022 di Birmingham,” katanya.
Pada masa sama, beliau percaya pemilihan Malaysia didorong kejayaan cemerlang skuad negara muncul juara keseluruhan pada Piala Dunia 2025 dengan mengatasi Australia, Scotland dan England di sini, November lepas.
Awalan berkata, siri ujian itu merupakan platform terbaik untuk skuad negara mengukur kemampuan sebenar dan memperkukuh persiapan ke Sukan Komanwel.
Sukan Komanwel Glasgow 2026 dijadual berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos ini.
Di Glasgow, boling padang menawarkan empat pingat emas menerusi acara singles lelaki dan wanita serta pairs lelaki dan wanita.
Kali terakhir Malaysia memenangi emas boling padang pada temasya itu ialah pada edisi 2018 di Gold Coast, Australia menerusi gandingan Siti Zalina Ahmad-Emma Firyana Saroji dalam acara pairs wanita. – Bernama
Ringkasan AI
- Kehebatan skuad boling padang kebangsaan mendapat perhatian di pentas antarabangsa dengan Malaysia dijemput menyertai siri perlawanan ujian menjelang Sukan Komanwel Glasgow 2026
- Siri ujian itu menghimpunkan tiga pasukan terbaik dunia iaitu Australia, Scotland dan England, dengan Malaysia sebagai satu-satunya wakil dari Asia
- Pemilihan Malaysia membuktikan peningkatan prestasi konsisten skuad kebangsaan sejak beberapa tahun kebelakangan
- Malaysia dipilih walaupun berada di kedudukan ketujuh menurut edisi 2022 di Birmingham dan pernah mengatasi Australia, Scotland dan England pada Piala Dunia 2025
- Sukan Komanwel Glasgow 2026 akan menawarkan empat pingat emas menerusi acara singles dan pairs lelaki dan wanita, Malaysia pernah memenangi emas boling padang pada edisi 2018






