sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengurus pasukan futsal bawah 19 (B-19) tahun negara, Datuk Mohd Hisamudin Yahaya optimis Malaysia mampu mencipta kejutan ke atas tuan rumah, Thailand dalam aksi separuh akhir Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN 2025 di Stadium Nonthaburi, malam esok.
Menurut Hisamudin, Rakhpol Seinetngam selaku jurulatih pasti mempunyai resipi untuk melakukan sesuatu dalam perlawanan itu biarpun cabaran getir bakal dilalui.
Justeru, beliau menuntut barisan pemain bermain bersungguh-sungguh tanpa gerun, sekali gus menempah tiket ke pentas final.
“Di peringkat separuh akhir esok, Malaysia akan berdepan tuan rumah, Thailand yang muncul sebagai juara Kumpulan A. Kita akan pastikan barisan pemain bersedia sepenuhnya untuk aksi tersebut, biarpun atas kertas Thailand memiliki kelebihan.
“Barisan kejurulatihan pastinya tahu apa perlu dilakukan untuk melakar kejutan, khususnya dalam percaturan taktikal untuk memerangkap lawan dan dalam aksi sebenar, apa sahaja boleh berlaku.
“Saya juga berharap pemain dapat memberikan segala yang mereka ada dalam pertemuan menentang Thailand. Inilah masanya untuk kita buktikan Malaysia mempunyai bakat-bakat berkualiti.
“Saya percaya Thailand juga sudah mengkaji corak permainan, kekuatan dan taktikal kita, jadi situasi ini pasti memberi sedikit kesukaran. Namun, saya percaya barisan pemain sudah bersedia dengan perancangan jurulatih,” katanya.
Dalam satu lagi aksi separuh akhir, Indonesia akan menentang Vietnam dalam aksi awal (5 petang) bagi merebut tiket ke perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung pada Isnin.
Sementara itu, Rakhpol meluahkan dirinya berpuas hati dengan prestasi pasukan yang berakscemerlang meskipun berdepan lawan sukar seperti Myanmar dan Indonesia dalam saingan Kumpulan B.
“Saya bangga dengan perjuangan ditunjukkan pemain. Di kejohanan ini, Indonesia dan Thailand pasukan sangat kuat, tetapi saya bersyukur Malaysia berjaya meneruskan kemaraan sehingga ke separuh akhir,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd






