KOTA BHARU – Pernah bergelar juara pada 2019, skuad futsal orang pekak Kelantan menjanjikan persembahan terbaik pada Kejohanan Futsal Orang Pekak Malaysia ke-4 yang akan berlangsung di Stadium Negeri, Kuala Terengganu dari 6 hingga 10 September ini.
Dengan kata lain, skuad dari negeri Pantai Timur itu bukan sahaja mahu mempertahankan gelaran berkenaan malah bagi memastikan gelaran juara itu tidak berpindah tangan.
Untuk itu, skuad yang telah membuat persiapan rapi sejak beberapa bulan lalu, akan memastikan setiap pemainnya berada dalam kecergasan terbaik.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Kelantan, Saiful Helmie Dzamani berkata, tidak mustahil pemainnya dapat mengekalkan gelaran juara kerana pada kejohanan lain sebelum ini, skuad itu adakalanya berjaya menempatkan diri sama ada sebagai juara atau naib juara.
“Namun, kita bukan mendabik dada. Kami hanya berbekalkan semangat dan keyakinan bahawa kami boleh. Untuk itu adalah penting setiap pemain perlu mengekalkan prestasi dan disiplin yang tinggi untuk mempertahankan kejuaraan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan jersi skuad futsal orang pekak Kelantan yang disumbangkan oleh Zas Homes Sdn. Bhd. yang diwakili Pengurus Operasinya, Mohamad Azrimi Abdullah.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah Urusetia Belia dan Sukan Negeri Kelantan, Mohd. Firdaus Nawi yang mewakili Exco Belia, Sukan, NGO dan Perpaduan Masyarakat Negeri Kelantan.
Saiful menambah, walaupun kehadiran skuad futsal Kelantan itu dengan serba kekurangan disebabkan kekangan penaja, namu ia tidak menghalang untuk skuad itu mempertahankan kejuaraan berkenaan.
“Skuad ini ada kekuatan tersendiri iaitu yakin, bersemangat dan kerjasama berpasukan,” katanya.
Sementara itu, Mohd. Firdaus memberitahu, kerajaan negeri ada menghulurkan bantuan mengikut keperluan untuk skuad futsal orang pekak itu beraksi di Terengganu.
Jelas beliau, pihaknya juga sedia mempertimbangkan insentif tertentu jika skuad futsal orang pekak Kelantan berjaya mencatatkan kejayaan cemerlangan.
“Kita mahu skuad Kelantan mencatatkan antara tiga pasukan terbaik keseluruhan. Kita sedia memberikan insentif tentu,” katanya.
Beliau juga mahu skuad tersebut walaupun mempunyai kekurangan sebagai orang kurang upaya (OKU) pendengaran, namun mereka perlu mempamerkan sikap berhemah yang tinggi.
“Walaupun sebagai OKU namun saya yakin mereka dapat menunjukkan contoh dari segi sikap serta kebaikan-kebaikan lain yang boleh dicontohi oleh orang lain,” katanya.
Sementara itu, Mohamad Azrimi ketika menjawab pertanyaan wartawan berkata, pihaknya juga sedia berbincang jika skuad futsal orang pekak Kelantan pulang dengan kejayaan cemerlang.
“Kita sedia berbincang dan melihat insentif-insentif lain yang difikirkan sesuai,” katanya. – MalaysiaGazette