sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Beraksi pada Kejohanan Futsal Pra Sukan Malaysia (Sukma) 2026 Johor Futsal Invitation Cup menjadi gelanggang terbaik menguji prestasi serta keupayaan barisan pemain skuad Pahang sebelum saingan Sukma Selangor 2026, Ogos depan.
Kejohanan selama seminggu bermula semalam di Stadium Tertutup Kluang, Johor itu menghimpunkan enam pasukan, selain Tok Gajah turut sama tuan rumah, Johor, Sabah, Negeri Sembilan, Sarawak dan Wilayah Persekutuan.
Ketua jurulatih skuad futsal Sukma Pahang, Ridzwan Firdaus berkata, penyertaan kejohanan futsal pra Sukma ini adalah medan untuk beliau menilai kualiti serta keupayaan sebenar setiap pemain sebelum mereka berhadapan dengan saingan sebenar dalam tempoh tidak sampai lima bulan lagi.
Katanya, Tok Gajah membawa seramai 14 pemain dan setiap mereka berpeluang beraksi sepanjang kejohanan yang begitu mencabar terutama dengan kehadiran naib juara Sukma 2024, Sarawak selain pasukan Johor yang dijangka memberi cabaran pada saingan Sukma Selangor 2026 kali ini.
“Skuad futsal Sukma Pahang mula mengadakan persiapan sejak awal tahun ini, dengan kehadiran tiga pemain Sukma Sarawak 2024 seperti Farhan Adib Mohd Asnol Hadi, Muhammad Adam Rayyan Norhisyam dan Muhammad Syahmie Rosli diharap mampu memberi sentuhan kejayaan.
“Keputusan pada kejohanan futsal pra Sukma akan menjadi kayu pengukur prestasi pasukan serta keupayaan setiap pemain yang diberi tugas beraksi pada setiap perlawanan,” katanya, dihubungi, di sini semalam.
Pada pertemuan pertama dengan Johor semalam menyaksikan Pahang tewas tipis 3-4 dan hari ini perlawanan kedua berhadapan Sarawak yang dijangka sengit.
© New Straits Times Press (M) Bhd






