Malaysia kalah di tangan Argentina dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Dunia Hoki Dalam Dewan di Croatia pada Selasa. Foto FIH / World Sport Pics
MALAYSIA belum menemui ramuan kemenangan setelah tewas buat kali kedua pada Piala Dunia Hoki Dalam Dewan di Croatia sebentar tadi.
Selepas dibelasah 4-12 oleh juara dunia, Jerman pada Isnin, kali ini anak buah Rodzhanizam Mat Radzi tumpas 2-5 kepada Argentina.
Skuad negara memulakan aksi kedua Kumpulan B dengan baik apabila berada di depan menerusi Shahmie Irfan Suhaimi pada minit ke-12.
Bagaimanapun berselang lima minit Gaston Rodriguez meledak jaringan untuk mengikat kedudukan.
Jaringan itu menyuntik semangat Argentina yang kemudian menambah gol pada minit ke-19 menerusi sentuhan Facundo G Navarro.
Argentina terus melebarkan jurang jaringan apabila Rodriguez menyumbat gol keduanya enam minit berselang.
Malaysia enggan berputus asa dan menemui gol yang dicari pada minit ke-39 menerusi Muhammad Najmi Farizal Jazlan.
Pasukan lawan kemudian mengemaskan rentak permainan untuk terus unggul menambah derita skuad negara dalam tempoh dua minit menerusi ledakan Alfredo Sosa serta Agustin Ceballos pada minit ke-39 dan 40.
Keputusan tersebut menyaksikan Malaysia kempunan sebarang mata untuk berada di tempat tercorot kumpulan yang turut disertai Argentina dan Iran.
Aksi terakhir peringkat kumpulan buat skuad negara ialah berdepan Iran pada Khamis.