saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Impian skuad hoki lelaki Bawah 18 Tahun (B-18) negara untuk melangkah ke final Piala Asia B-18 tidak kesampaian apabila dibelasah tuan rumah, Jepun 1-8 pada aksi separuh akhir, hari ini.
Beraksi menentang juara bertahan di hadapan penyokong lawan, anak buah Mohd Harfizi Baharom berdepan tugas sukar apabila Jepun mempamerkan permainan pantas dan agresif sejak wisel permulaan.
Jepun membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Numada Gaku pada minit ke-7 sebelum Yoshioka Mahiro menggandakan kelebihan empat minit kemudian, juga menerusi pukulan sudut penalti.
Belum sempat Malaysia menyusun semula rentak permainan, Jepun menambah derita apabila Dobashi Takuya meledak gol padang pada minit ke-11 untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Dominasi tuan rumah berterusan pada suku kedua apabila Takuya sekali lagi menemui sasaran menerusi gol padang pada minit ke-20 sebelum Inukai Yoga menjaringkan gol kelima seminit kemudian hasil pukulan sudut penalti.
Malaysia cuba bangkit selepas rehat separuh masa, namun benteng pertahanan negara terus ditembusi apabila Mori Tatsuya menjadikan kedudukan 6-0 menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-44, sebelum Yoga menambah gol ketujuh beberapa saat kemudian menerusi jaringan padang.
Skuad negara akhirnya memperoleh gol sagu hati menerusi penalti strok yang disempurnakan Dheeressh Gunaseelan pada minit ke-47.
Bagaimanapun, Jepun menutup tirai kemenangan bergaya apabila Yoga melengkapkan hatrik menerusi penalti strok seminit kemudian bagi memastikan kemenangan besar 8-1, sekali gus mengesahkan tempat ke final.
© New Straits Times Press (M) Bhd






