September 8, 2024

Skuad hoki remaja mula langkah kiri di Australia

Skuad hoki remaja mula langkah kiri di Australia


SKUAD hoki remaja lelaki kebangsaan memulakan Siri Perlawanan Persahabatan Brisbane 2024 dengan langkah kiri apabila tumpas 2-4 kepada pasukan remaja tuan rumah di Queensland State Hockey Centre, Brisbane, Australia pada Jumaat.

Dua gol Malaysia disumbangkan Muhammad Danish Aiman Khairil Anwar dan Mohamad Nor Syakir Hafiz, masing-masing pada minit ke-52 dan ke-56.

Jurulatih pasukan I Vikneswaran berkata, masih banyak penambahbaikan perlu dilakukan anak buahnya, namun tetap berpuas hati dengan semangat ditonjolkan pemain apabila mereka kembali bangkit pada babak akhir perlawanan.

“Kita kembali memberi tentangan pada babak akhir permainan dan walaupun kita tewas 2-4, pemain-pemain bermain dengan baik.

“Permainan pertama dalam siri perlawanan ini merupakan permainan menentang pasukan yang mantap dan kuat dan kita pun tahu bahawa Australia merupakan salah satu pasukan terbaik dunia.

“Saya fikir pemain kita telah juga mempamerkan kekuatan pada perlawanan hari ini,” katanya menerusi video dikongsikan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) kepada media pada Jumaat.

Sebelum ini, MHC memaklumkan bahawa siri perlawanan itu adalah bagi menghadapi dua kejohanan tahun ini iaitu Piala Sultan Johor dan Piala Remaja Asia 2024.

Enam perlawanan telah diatur iaitu empat perlawanan menentang Pasukan Kebangsaan Bawah (B-21) Australia dan dua perlawanan menentang Kelab Hoki Queensland.

Siri Perlawanan Persahabatan Brisbane 2024 yang bermula hari ini akan berlangsung hingga 5 Ogos ini di venue sama bagi setiap perlawanan. – Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!



Source link

OR

Scroll to Top