Belek, Turkiye: Skuad kebangsaan Iran menjalani latihan di selatan Turki semalam sebagai persiapan menghadapi dua perlawanan persahabatan menjelang Piala Dunia ketika mereka dijangka menjadi tumpuan susulan perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap negara itu.
Pasukan itu mengadakan sesi latihan di Belek, kawasan peranginan berhampiran bandar Mediterranean Antalya, dengan akses media yang sangat terhad bagi mengelakkan gangguan menjelang perlawanan yang disifatkan penting untuk persiapan Piala Dunia mereka.
Persekutuan Bolasepak Iran sedang berbincang dengan badan induk dunia FIFA mengenai kemungkinan memindahkan aksi Piala Dunia mereka ke Mexico dari Amerika Syarikat atas kebimbangan keselamatan pemain, kata presiden persekutuan, Mehdi Taj minggu lalu.
Kem latihan Iran terus mengekalkan profil rendah ketika pasukan membuat persiapan ke arah Piala Dunia, di mana mereka dijangka berdepan penelitian politik dan perhatian media yang intensif.
Di Belek, tiada sesi temu bual dengan pemain atau jurulatih dibenarkan, dan wakil media pasukan berkata skuad itu memberi tumpuan sepenuhnya kepada program persahabatan terdekat mereka.
Iran akan bermain dua perlawanan di Antalya, menentang Nigeria esok dan Costa Rica pada Selasa.
Perlawanan persahabatan itu pada asalnya dijadualkan berlangsung di Jordan, tetapi dipindahkan ke Turkiye susulan tercetusnya perang Iran.
Pemain dilihat tenang sepanjang sesi latihan dalam cuaca cerah, dengan staf dan pemain sesekali berbual dan bergurau.
Antara yang hadir ialah penyerang Mehdi Taremi, yang menjadi perhatian sejak kebelakangan ini selepas bertukar jersi dengan pemain Israel ketika beraksi untuk kelabnya Olympiacos di Greece.
Penyerang Sardar Azmoun pula tidak disenaraikan dalam skuad selepas memuat naik gambar pertemuannya dengan pemerintah Dubai, Mohammed bin Rashid Al Maktoum, di Instagram.
Media Iran melaporkan Azmoun, yang menjaringkan 57 gol dalam 91 penampilan antarabangsa, digugurkan daripada pasukan kebangsaan kerana dianggap melakukan tindakan tidak setia kepada kerajaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






