Skuad kuadran negara dingatkan jangan selesa

Skuad kuadran negara dingatkan jangan selesa


SKUAD sepak takraw kuadran negara diingatkan untuk tidak berasa selesa dengan status mereka sebagai juara Asia pada ketika ini.

Pengendali skuad kuadran negara Muhammad Zulkarnain Mohamed Arif berkata meskipun beliau berbangga dengan pencapaian anak-anak buahnya, tanggungjawab mereka masih belum selesai untuk tahun ini.

Beliau berkata ini kerana masih terdapat dua kejohanan besar menanti pasukan negara iaitu Piala Raja Thai yang dijadual berlangsung pada Julai, serta temasya Sukan SEA di Thailand hujung tahun ini, yang menuntut persiapan rapi dan fokus berterusan.

“Acara kuadran ini sebenarnya masih baru untuk kita. Kami sebenarnya masih cuba mencari rentak dalam acara ini dan setakat ini persembahan serba menjadi.

“Tetapi selepas ini kita ada dua kejohanan besar Piala Raja Thai dan Sukan SEA hujung tahun ini, yang pasukan hebat seperti Thailand, Myanmar dan Indonesia sudah tentu akan sertai kedua-kedua kejohanan ini,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Skuad kuadran negara sebelum itu mencipta sejarah muncul juara acara itu, selepas menewaskan Jepun pada kejohanan sepak takraw Piala Asia 2025 di Stadium Titiwangsa.

Skuad negara dibarisi Muhammad Afifuddin Mohd Razali, Amirul Zazwan Amir, Norfaizzul Abd Razak dan Muhammad Shahril Aiman Halim, tidak berdepan masalah menewaskan skuad matahari terbit itu 15-8, 15-11.

Dalam pada itu jurulatih skuad double negara, Aswadi Abdullah berkata beliau tetap berbangga dengan persembahan anak buahnya meskipun gagal menjadi juara acara itu.

Beliau berkata barisan pemain yang diturunkan pada kejohanan itu iaitu Muhammad Noraizat Nordin, Muhammad Redwan Hakim Muhammad dan Aidil Aiman Azmawi menampilkan aksi yang terbaik sepanjang kejohanan itu.

“Persembahan daripada awal hingga ke final sebenarnya pemain sudah berikan yang terbaik. Cuma, dari segi permainan, kita ada peluang menang, tetapi ia tidak memihak kepada kita.

“Secara kesimpulan, daripada peringkat kumpulan hingga ke hari ini, pemain dapat terjemahkan apa dimahukan dan dapat beri yang terbaik dan pada saya, itu sudah cukup,” katanya.

Dalam masa yang sama beliau tidak menolak mungkin bakal melakukan rombakan pemain bagi menghadapi Piala Raja Thai.

Terdahulu, hasrat Malaysia untuk meraih gelaran berganda di Kejohanan Sepak Takraw Piala Asia Kuala Lumpur 2025 tidak kesampaian, apabila tewas 1-2 kepada musuh tradisi Thailand dalam perlawanan akhir acara double. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top