Skuad kuadran tak kisah lawan Vietnam atau Korea Selatan

Skuad kuadran tak kisah lawan Vietnam atau Korea Selatan


Aksi skuad kuadran negara berjersi kuning ketika berdepan Filipina di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur. Foto: Facebook Persatuan Sepaktakraw Malaysia

SKUAD kuadran sepak takraw negara tidak berasa gentar untuk turun beraksi dalam saingan separuh akhir Piala Asia Kuala Lumpur 2025 di Stadium Titiwangsa pada Isnin.

Malah anak buah Mohammad Zulkarnain Mohamed Arif sudah bersedia untuk berdepan Vietnam atau Korea Selatan bagi meraih slot ke perlawanan akhir.

Beliau juga optimis pasukan kali ini lebih mantap daripada aspek fizikal dan mental bagi menebus kecewa dalam saingan Piala Dunia di India Mac lalu.

Sebagai rekod pasukan kebangsaan tumpas 0-2 kepada Vietnam 0-2 (12-15, 5-15).

“Kita tak kisah lawan siapa. Fokus utama adalah persiapan pasukan sendiri.

“Bahkan kita juga tahu kelebihan serta kelemahan mereka dan akan gunakan maklumat itu sebaik mungkin,” katanya.

Malaysia muncul juara Kumpulan B setelah melakar tiga rekod bersih menang 2-0 ke atas China, 2-1 mengatasi Filipina dan menewaskan Jepun 2-0.

Zulkarnain menjelaskan, analisis awal ke atas permainan Korea Selatan dan Vietnam sudah dibuat sebagai persediaan taktikal yang ampuh.

“Vietnam kita sudah jumpa sebelum ini, jadi ada data untuk rujuk. Malah kita juga ada menonton video aksi Korea Selatan untuk buat analisis lanjut,” katanya.

Lawan Malaysia sama ada Vietnam atau Korea Selatan di peringkat separuh akhir akan diketahui pada jam 8 malam Ahad.

Berdasarkan format kejohanan, skuad negara yang muncul juara Kumpulan B bakal berdepan naib johan Kumpulan A.

Andai Vietnam menang, pasukan tersebut sekali gus akan muncul sebagai pendahulu kumpulan manakala Korea Selatan di tempat kedua.

Saingan separuh akhir dijadualkan pada Isnin bermula jam 12 tengah hari, manakala aksi final pula pada jam 8 malam.



Source link

OR

Scroll to Top