Bintang ONE Championship, Aliff Rakib turut disenaraikan dalam skuad Muay Thai negara ke Sukan SEA Thailand akhir tahun ini. Foto Agensi
SKUAD Muay Thai negara perlu waspada dengan ancaman yang bakal diberikan pasukan tuan rumah pada Sukan SEA Thailand 2025 akhir tahun ini.
Biarpun kem negara bakal diperkuat dengan atlet ONE Championship, Rifdean Masdor dan Aliff Rakib, namun cabaran Thailand tidak boleh dipandang mudah kerana mereka beraksi di laman sendiri.
Presiden Persatuan Muaythai Malaysia (PMM), Datuk Muhammad Shahnaz Azmi berkata, sebagai tuan rumah, Thailand sudah tentu menjadi halangan terbesar buat semua negara yang bertanding, terutama dalam sukan Muay Thai yang merupakan sukan tradisi mereka.
“Kelebihan beraksi di laman sendiri dijangka memberikan suntikan semangat tambahan kepada atlet mereka, sekali gus meletakkan Malaysia dalam posisi yang lebih sukar untuk mencapai sasaran.
“Namun, dengan persediaan rapi dan semangat juang yang tinggi, skuad negara optimis mampu memberikan saingan sengit,” katanya.

Muhammad Shahnaz
Rifdean dan Aliff akan mengetuai senarai lapan atlet elit yang terdiri daripada empat lelaki dan empat wanita untuk menggalas cabaran negara pada temasya dwitahunan itu dengan sasaran realistik satu pingat emas.
Muhammad Shahnaz berkata, selain Thailand, kekuatan negara jiran seperti Kemboja, Myanmar dan Laos juga tidak boleh dipandang sebelah mata.
Menurutnya, ketiga-tiga negara itu mempunyai petarung berkualiti dengan gaya unik seperti Muay Khmer dan Muay Lao, namun mereka jarang menyertai kejohanan dunia, menjadikan kekuatan sebenar mereka sukar dijangka.
“Cabaran utama pada Sukan SEA adalah kita tidak dapat mengagak kekuatan petarung dari Laos, Myanmar dan Kemboja.
“Mereka jarang datang ke kejohanan dunia, tetapi apabila di Sukan SEA, mereka akan turun dengan kekuatan penuh. Ini adalah ancaman tersembunyi yang perlu kami beri perhatian,” katanya.