PENGENDALI Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Azzmi Aziz bertekad membuktikan kemampuan skuad muda bimbingannya apabila memulakan kempen sulung Liga A1 Semi-Pro 2025/26 menentang Machan FC di Stadium Majlis Kubang Pasu, Jitra pada Ahad.
Mengakui berdepan laluan berliku, Azzmi berkata penyertaan kali ini bukan sekadar memburu semula kepercayaan penyokong selepas bergelut di Liga Super, tetapi menjadi medan penting membentuk generasi pelapis Hijau Kuning.
“Pasukan ini dibentuk dalam keadaan mencabar kerana sekatan perpindahan (transfer ban). Jadi, kami gabungkan pemain Piala Presiden, skuad Bawah 23 dan skuad Piala Belia negeri untuk membina pasukan,” katanya.
Menurutnya, ketiadaan pemain import dan tonggak senior membuatkan skuad itu perlu bersaing dengan lawan yang lebih berpengalaman dan memiliki kelebihan fizikal serta taktikal.
Bagaimanapun, beliau yang pernah membimbing kelab Liga Super, Negeri Sembilan FC dan PDRM FC optimis skuad muda Sang Kenari mampu memberi tentangan bermula aksi pembukaan.
“Persiapan berjalan lancar sejak beberapa minggu lalu dan esok adalah sesi latihan terakhir. Harap semua pemain dapat pamer prestasi terbaik di gelanggang sendiri,” katanya.
Mengulas aksi di hadapan penyokong sendiri, Azzmi mengakui ia kelebihan yang perlu dimanfaatkan, namun tidak menolak ada tekanan buat pemain muda.
“Ramai pemain belum pernah beraksi dalam suasana sebegini. Saya mahu mereka cepat menyesuaikan diri dan tidak gugup di padang,” ujarnya.
Dalam masa sama, Azzmi mengesahkan semua pemain utama bebas kecederaan dan bersedia diturunkan.
“Alhamdulillah, tiada kecederaan serius. Pemain menunjukkan prestasi baik dalam latihan dan perlawanan persahabatan. Mereka sedia beraksi, insya-ALLAH,” katanya.