SKUAD badminton remaja negara meneruskan rentak positif dalam Kejuaraan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2025 apabila menundukkan Amerika Syarikat (AS) 2-1 dalam aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan di Pusat Kecemerlangan Nasional, Guwahati, India pada Jumaat.
Malaysia yang turun dalam saingan Kumpulan C penentuan kedudukan bermula garang apabila pemain perseorangan wanita, Oo Shan Zi membuka tirai kemenangan selepas menewaskan Annie Meng 9-8, sebelum gandingan beregu wanita, Low Zi Yu–Aqilah Ramdan, menambah mata kedua dengan menumpaskan pasangan Audrey Chang–Jasmine Yeung 18-12.
Amerika Syarikat merapatkan jurang menerusi perseorangan lelaki, Shriyans Ankith Bhagavatula, yang menundukkan Kong Wei Xiang 27-18, namun beregu lelaki Loh Zi Heng–Tan Zhi Yang kembali mengukuhkan kedudukan Malaysia selepas menewaskan Youshi Chen–Tian Qi Zhang 36-26.
Malaysia menoktahkan kemenangan set pertama melalui acara beregu campuran apabila Tan Zhi Yang–Nicole Tan menumpaskan Tian Qi Zhang–Audrey Chang 45-29 untuk mendahului 1-0.
Amerika Syarikat bangkit dalam set kedua apabila memenangi tiga daripada lima acara untuk menyamakan kedudukan 1-1.
Walaupun Eng Ler Qi memberikan permulaan baik buat Malaysia selepas menundukkan Alice Wang 9-5, rentak skuad negara terhenti apabila beregu wanita Low Zi Yu–Aqilah Ramdan tewas 13-18 kepada Audrey Chang–Jasmine Yeung, sebelum Shriyans Ankith Bhagavatula menewaskan Roslie Razeeq Danial 27-23.
AS terus mengukuhkan kedudukan apabila beregu lelaki Youshi Chen–Tian Qi Zhang menumpaskan Datu Anif Datu Asrah–Shazmir Shahrul 36-35, sebelum kemenangan set kedua disahkan melalui pasangan beregu campuran Arden Quan Lee–Jasmine Yeung yang menundukkan Tan Zhi Yang–Nicole Tan 45-41.
Bagaimanapun, skuad remaja negara enggan berputih mata apabila bangkit meyakinkan pada set ketiga untuk menutup aksi dengan kemenangan 2-1.
Oo Shan Zi sekali lagi menunjukkan keampuhan apabila mudah menewaskan Annie Meng 9-4, sebelum Low Zi Yu–Aqilah Ramdan menebus kekalahan terdahulu dengan kemenangan 18-8 ke atas Audrey Chang–Jasmine Yeung.
Kong Wei Xiang pula tidak mensia-siakan peluang apabila menundukkan Shriyans Ankith Bhagavatula 27-15, disusuli kemenangan bergaya beregu lelaki Loh Zi Heng–Tan Zhi Yang 36-17 ke atas Youshi Chen–Tian Qi Zhang.
Malaysia menoktahkan kejayaan mutlak apabila gandingan Tan Zhi Yang–Nicole Tan memastikan mata penutup menerusi kemenangan 45-25 ke atas Arden Quan Lee–Jasmine Yeung dalam acara beregu campuran.
Sementara itu, jurulatih skuad remaja negara, Misbun Ramdan Misbun menjelaskan bahawa kemenangan ke atas Amerika Syarikat bukan tugas mudah memandangkan lawan itu baru sahaja memaksa Jepun beraksi hingga ke set penentuan pada perlawanan terdahulu.
“Kita sudah jangka AS bukan pasukan mudah. Jadi kita turunkan barisan terbaik supaya pemain faham tanggungjawab dan peranan masing-masing di gelanggang,” katanya selepas perlawanan.
Misbun Ramdan menambah, meskipun barisan muda negara masih dalam proses menyesuaikan diri dengan sistem pemarkahan baharu yang lebih pantas dan padat, mereka menunjukkan disiplin tinggi serta mampu mengawal tekanan dengan baik sepanjang tiga set perlawanan.
“Format baharu ini memang mencabar kerana pemain perlu cepat buat keputusan dan tidak boleh hilang fokus. Kadang-kadang apa yang dirancang tidak menjadi, tetapi yang penting kepala kena kuat dan jangan panik,” tegasnya.
Misbun Ramdan juga memuji daya juang pemain yang bangkit mengawal rentak permainan selepas beberapa kesilapan kecil pada set awal, sambil menyifatkan kemenangan selesa pada set ketiga sebagai hasil pemahaman taktikal dan keyakinan diri yang semakin matang.
“Set ketiga tadi lebih tenang, semua faham apa yang perlu dilakukan. Itu menunjukkan kemajuan positif dalam cara mereka berfikir dan bertindak di gelanggang,” ujarnya.
Dengan kemenangan tersebut, Malaysia akan berdepan Taiwan pada Sabtu dalam perlawanan penentuan tempat kelima keseluruhan.
Ringkasan AI
- Skuad badminton remaja negara menundukkan Amerika Syarikat 2-1 dalam kejuaraan di India
- Oo Shan Zi dan Low Zi Yu–Aqilah Ramdan memenangi perlawanan masing-masing membawa Malaysia mendahului
- Amerika Syarikat bangkit di set kedua namun gagal menyamakan kedudukan secara keseluruhan
- Malaysia berjaya meyakinkan pada set ketiga untuk menutup aksi dengan kemenangan
- Jurulatih Misbun Ramdan Misbun memuji daya juang dan disiplin tinggi pemain remaja negara






