Skuad olahraga mahu berlatih di Stadium Merdeka

Skuad olahraga mahu berlatih di Stadium Merdeka


VENUE ikonik, Stadium Merdeka di Kuala Lumpur dikenal pasti sebagai satu daripada pilihan terbaik sebagai pusat latihan buat atlet olahraga negara.

Presiden Olahraga Malaysia (MA), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, pilihan tersebut sebagai alternatif susulan kerja naik tarik trek di Majlis Sukan Negara (MSN).

Beliau berkata, perkara berkenaan perlu diselesaikan segera kerana ketiadaan lokasi latihan boleh menjejaskan persiapan skuad olahraga ke Sukan SEA Thailand akhir tahun ini.

“Masalah besar kami adalah atlet dan jurulatih tiada tempat latihan tetap. Kita giat berikan perhatian kepada beberapa tempat termasuk Stadium Merdeka, tetapi tempat ini kena bayar sewa agak tinggi.

“Saya akan berunding dengan kerajaan supaya bagi diskaun kepada kami untuk adakan latihan,” katanya ketika ditemui media di Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur di Stadium Merdeka pada Ahad.

Ketika ini para atlet berlatih sementara di beberapa lokasi di Lembah Klang termasuk Institut Penilaian Negara (INSPEN).

Lokasi latihan lain ialah Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten).

“Setakat ini kita masih belum dapat maklumat rasmi pembukaan semula Stadium Mini di MSN yang ditutup bagi tujuan penyelenggaraan,” ujar Shahidan.

Beliau turut menjelaskan bahawa prestasi atlet negara pada temasya dwitahunan di Thailand itu menjadi cerminan kepada keupayaan Malaysia selaku tuan rumah pada edisi 2027.

Justeru tegasnya, adalah penting untuk memastikan atlet mempunyai kemudahan latihan yang baik bagi mencapai keputusan terbaik.

“Ketika ini seramai 85 atlet olahraga berada di bawah program MSN merangkumi Program Podium dan pelapis, manakala 22 atlet lagi berada di bawah program pembangunan MA,” katanya.

Sebagai rekod Stadium Merdeka dimiliki oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) yang membangunkan bangunan kedua tertinggi di dunia, Menara Merdeka 118.



Source link

OR

Scroll to Top