Skuad perseorangan berdepan krisis?

Skuad perseorangan berdepan krisis?


Tat Meng (kanan) meluahkan kebimbangan mengenasi prestasi kem perseorangan badminton remaja negara di pentas antarabangsa. Foto Agensi

MALAYSIA berisiko berdepan krisis dalam acara perseorangan sekiranya tiada tindakan segera diambil terhadap kerapuhan dalam sistem pembangunan pemain remaja negara.

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Wong Tat Meng meluahkan kebimbangan itu selepas menyaksikan sendiri prestasi hambar skuad muda negara pada Kejohanan Badminton Remaja Asia 2025 di Solo, Indonesia yang menutup tirai pada Ahad.

Beliau berkata, kegagalan pemain negara sama ada dalam acara perseorangan lelaki dan wanita untuk mara ke suku akhir sebagai isyarat jelas bahawa sesuatu perlu diperbaiki segera dalam sistem pembangunan pemain muda di Malaysia.

“Saya berada di Solo menonton Kejohanan Remaja Asia dan saya harus katakan, ia sangat mengecewakan dan menyedihkan apabila tiada seorang pun pemain perseorangan kita, lelaki atau wanita, berjaya mara ke suku akhir,” catat beliau menerusi Facebooknya.

Skuad badminton remaja negara menutup saingan di Solo dengan catatan kecewa apabila menyaksikan perjalanan dalam acara berpasukan berakhir di suku akhir.

“Meskipun saya tidak lagi menetap di Malaysia, saya masih mengambil berat, lebih-lebih lagi kerana pernah menjadi sebahagian daripada sistem kejurulatihan kebangsaan.

“Ia benar-benar membuat saya tertanya-tanya, apa yang sedang berlaku dalam sistem pembangunan remaja kita sejak beberapa tahun kebelakangan ini?” ujar Tat Meng.

Jurulatih berusia 58 tahun itu menegaskan bahawa Malaysia sebenarnya tidak kekurangan bakat, namun ada sesuatu yang asas dalam pembangunan seperti menyekat mereka menterjemahkannya kepada keputusan terbaik di peringkat antarabangsa.

“Sudah tiba masanya kita melakukan semakan menyeluruh dan tetapkan hala tuju jangka panjang yang jelas. Jika tidak, kita bakal berdepan krisis lebih besar dalam acara perseorangan pada masa akan datang,” katanya.



Source link

OR

Scroll to Top