Skuad ragbi 7s lelaki negara. Foto: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM)
SKUAD ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara selangkah mempertahankan kejuaraan Kejohanan 7s Asia Tenggara (SEA 7s) selepas mara ke perlawanan akhir.
Skuad Bunga Raya 7s kendalian Nik Safuan Ismade Nik Man melangkah ke pentas perlawanan akhir selepas mengungguli Kumpulan A setelah menjinakkan Indonesia, 31-0, diikuti Filipina, 26-0 di Stadium Jurong Barat.
“Alhamdulillah, syukur kita berjaya merealisasikan misi hari pertama biarpun perlawanan agak sengit selain pemain bergelut untuk mendapatkan kemenangan
“Bagaimanapun pengalaman selain mudah menterjemahkan taktikal menyaksikan kita berjaya mengatasi Indonesia dan Filipina,” katanya.
Mengenai aksi berdepan Thailand di Stadium Nasional, pada Sabtu, Nik Safuan Ismade mahu pemainnya mengekalkan kekuatan mental apabila berdepan Thailand yang juga antara kuasa ragbi Asia Tenggara.
“Selain kekuatan fizikal, saya berharap setiap pemain dapat meningkatkan kerjasama dan komunikasi dalam merealisasikan taktikal pasukan,” katanya.

Skuad ragbi 7s wanita negara. Foto: Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM)
Sementara itu, skuad ragbi wanita negara turut mencipta sensasi tersendiri apabila mara ke perlawanan akhir.
Skuad kendalian Muhammad Faiz Samsukhidir itu mara selepas mengejutkan juara bertahan Thailand 17-12 dalam aksi separuh akhir di Stadium Jurong Barat untuk berdepan Singapura pada Sabtu.
Bagaimanapun skuad negara bermula tempang apabila tewas 5-28 kepada Singapura sebelum bangkit mengatasi Indonesia 15-5 untuk mara separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B.
Edisi 2024, skuad negara mengakhiri cabaran di kedudukan ketiga selepas menjinakkan Indonesia, 38-5 pada perlawanan tempat ketiga dan keempat.