Skuad remaja negara kelima terbaik di Guwahati 2025

Skuad remaja negara kelima terbaik di Guwahati 2025


SKUAD badminton muda negara menutup tirai Kejuaraan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2025 dengan penuh bergaya apabila menewaskan Taiwan 2-1 dalam aksi penentuan tempat kelima keenam di Pusat Kecemerlangan Nasional, Guwahati, India, pada Sabtu.

Kemenangan itu sekali gus mengesahkan Malaysia menamatkan saingan di kedudukan kelima terbaik dunia, satu peningkatan positif hasil komitmen tinggi barisan pemain muda yang berjuang hingga ke penghujung kejohanan.

Malaysia bermula garang pada set pertama apabila Lim Boon Le membuka tirai kemenangan dengan menewaskan Huang Jyun-Kai 9-3 dalam perseorangan lelaki.

Rentak cemerlang itu diteruskan gandingan Aqilah Ramdan-Low Zi Yu yang menumpaskan Yun An Chou-Hui Hsin Huang 18-16 dalam acara beregu campuran, sebelum Lim Zhi Shin memastikan kelebihan 1-0 buat skuad negara apabila menundukkan Yuan Chi Liao 27-22 dalam perseorangan wanita.

Namun, Taiwan tidak mudah mengalah dan bangkit menyamakan kedudukan selepas meraih kemenangan dalam tiga perlawanan pada set kedua.

Chieh Dan Yang menewaskan Kong Wei Xiang 9-6 dalam perseorangan lelaki, sebelum gandingan Yun An Chou-Hui Hsin Huang menumpaskan Aqilah Ramdan-Low Zi Yu 18-11 dalam beregu wanita.

Taiwan terus menambah tekanan apabila Liao Jui-Chi menundukkan Oo Shan Zi 27-15, sekali gus memaksa perlawanan ditentukan menerusi set ketiga.

Pada set penentuan, skuad muda negara kembali bangkit dengan semangat luar biasa. Lim Boon Le memastikan kemenangan awal Malaysia selepas menewaskan Chen Yu Cheng 9-5, diikuti gandingan mantap Aqilah Ramdan-Low Zi Yu yang sekali lagi mempamerkan ketenangan menundukkan Yun An Chou-Hui Hsin Huang 18-8.

Lim Zhi Shin menambah mata ketiga apabila menewaskan Shu-Yu Wen 27-23, sebelum beregu lelaki Loh Zi Heng-Tan Zhi Yang dan gandingan campuran Loh Zi Heng-Aqilah Ramdan melengkapkan kemenangan 2-1 selepas menumpaskan pasangan Yi Hsuan Chen-Bing Fu Hung dan Hung Bing Fu-Chou Yun An masing-masing dengan keputusan 36-31 dan 45-39.

Sementara itu, ketua jurulatih perseorangan negara, Misbun Ramdan Misbun menyifatkan kejohanan kali ini sebagai pengalaman berharga buat semua pemain muda yang beraksi dengan format baharu relay dalam acara berpasukan.

“Saya tetap berpuas hati dengan prestasi keseluruhan, biarpun tidak berjaya naik podium, perlawanan menentang Taiwan sangat berintensiti tinggi, tapi saya gembira apabila pemain menunjukkan semangat juang hingga ke penghujung,” katanya.

Barisan pemain muda negara selepas ini akan mengharungi saingan individu yang bermula dari 13 hingga 19 Oktober.

 



Source link

OR

Scroll to Top