AKUATIK Malaysia (MAS) mencongak strategi untuk mengilap bakat perenang berusia 13 hingga 17 tahun sebagai sebahagian daripada rancangan jangka sederhana untuk memburu pingat emas Sukan SEA 2027 di laman sendiri.
Pengarah Teknikal Renang MAS, Megan Oesting menjangkakan kelompok perenang itu mampu memacu pasukan kebangsaan dalam masa dua tahun apabila Malaysia menjadi tuan rumah temasya tersebut.
“Terdapat dorongan kuat daripada pasukan kejurulatihan untuk mengenal pasti dan membangunkan perenang berumur antara 13 dan 17 tahun. Mereka akan menjadi atlet utama kami untuk Sukan SEA 2027 di Malaysia.
“Inilah masanya untuk memberi mereka latihan, pendedahan dan pengalaman pertandingan yang diperlukan. Jadi apabila tahun 2027 tiba, mereka sudah bersedia untuk memberikan hasil yang cemerlang,” katanya.
Beberapa perenang muda, termasuk mereka yang telah memenuhi kelayakan B akan mewakili Malaysia pada Sukan SEA Thailand bermula 9 hingga 20 Disember depan.
Mereka terdiri daripada Shannon Tan, Goh Li Jie dan Isabelle Chiyi Buckley.
Oesting menjelaskan bahawa, matlamat bagi tahun ini adalah untuk mengembangkan skuad muda ini agar mereka dapat pendedahan yang mencukupi.
“Apabila tiba masanya untuk berjuang merebut pingat di laman sendiri, mereka akan bersedia sepenuhnya. Itulah matlamat jangka panjang kami,” ujarnya.
Beliau juga menekankan kepentingan mengabung bakat muda itu dengan perenang kebangsaan yang berpengalaman untuk menjadi mentor mereka.
“Kami bergantung kepada perenang senior untuk membantu membimbing generasi seterusnya.
“Sokongan daripada atlet berpengalaman adalah penting. Ketika ini skuad pembangunan berkembang dengan sangat baik,” ujar Oesting.