Skuad sepak takraw terkuat ke Thailand

Skuad sepak takraw terkuat ke Thailand


Mohd Sumali. Foto Bernama.

MALAYSIA akan menghantar skuad sepak takraw terkuat menerusi penampilan semula pemain berpengalaman, Hafizul Hayazi dan Zuleffendi Sumari bagi menggalas cabaran negara pada Sukan SEA 2025 Thailand akhir tahun ini.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan berkata, perbincangan dengan jurulatih telah diadakan untuk memastikan nama mereka tidak tercicir daripada senarai pasukan untuk ke temasya dwitahunan itu.

“Saya tengah berusaha untuk dua pemain ini, John (Hafizul) dan Pak Long (Zuleffendi). Saya tahu (prestasi mereka), saya pun mengamati setiap perlawanan STL (Liga Sepak Takraw), jarang saya terlepas untuk tengok walaupun saya tengok di televisyen atau telefon.

“Saya sudah bercakap dengan jurulatih untuk bawa Pak Long dengan John masuk ke dalam skuad kebangsaan, kami memerlukan dua pemain ini dan sebenarnya memang sebelum ini pun ada dalam skuad, tetapi semua faham, semua tahu ada masalah.

“John ada masalah dengan majikan dia dan Pak Long pun sama. Saya akan berusaha untuk berjumpa dengan majikan masing-masing dalam masa terdekat untuk merayu pelepasan untuk John dan Pak Long untuk duduk dalam skuad kebangsaan,” katanya.

Hafizul yang beraksi sebagai apit kanan dan Zuleffendi (apit kiri) sebelum ini terlepas daripada mewakili skuad kebangsaan selepas tidak mendapat pelepasan majikan kerana untuk mewakili negara memerlukan cuti panjang untuk menyertai kem latihan pusat.

Kedua-dua pemain itu yang bergandingan dengan Haziq Hairul Nizam (tekong) berada di prestasi terbaik ketika ini apabila memacu Negeri Sembilan Antlers menjuarai Grand Prix (GP) Negeri Sembilan dan Johor dalam saingan STL.

Mengulas sasaran Sukan SEA 2025, Mohd Sumali realistik dengan sasaran dua emas menerusi acara regu lelaki dan kuadran lelaki selain dua perak dalam acara kuadran campuran dan regu berpasukan lelaki.



Source link

OR

Scroll to Top