Skuad takraw diyakini menyerlah di Piala Raja Thai

Skuad takraw diyakini menyerlah di Piala Raja Thai


Dari kiri, Sumali, Suhardi dan Dazma ketika kunjungan PSM ke PJS.

PESURUHJAYA Sukan (PJS), Suhardi Alias menzahirkan keyakinan tinggi terhadap kemampuan skuad sepak takraw negara menyerlah dalam Kejohanan Sepak Takraw Dunia Piala Raja Thai di Hatyai, Songkhla, dari 22 hingga 27 Julai depan.

Suhardi percaya anak buah kendalian Ahmad Jais Baharun itu akan memanfaatkan sepenuhnya tempoh yang berbaki bagi memantapkan persiapan menjelang kejohanan berprestij dunia tersebut.

“Saya amat berharap prestasi pasukan sepak takraw negara akan terus kekal konsisten dan cemerlang bagi menghadapi Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thai ke-38 di bumi Thailand pada Julai nanti,” ujar Suhardi.

Beliau turut menambah, prestasi yang dipamerkan di Piala Raja Thai merupakan kesinambungan kepada persiapan rapi untuk menghadapi temasya Sukan SEA Thailand 2025 yang dijadualkan pada Disember.

“Malah, penubuhan Akademi Sepak Takraw Malaysia diyakini akan menjadi pemangkin utama kepada pembangunan bakat pelapis takraw negara untuk masa depan,” katanya selepas menerima kunjungan hormat daripada Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Mohd Sumali Reduan, serta Bendahari PSM, Datuk Dazma Shah Daud.

Mengulas lanjut mengenai perjumpaan antara PJS dan PSM, Suhardi menjelaskan bahawa kedua-dua pihak telah membincangkan secara mendalam mengenai aspek pembangunan sukan dan pengurusan pentadbiran persatuan sepak takraw negara.

“Perjumpaan ini juga turut menyentuh beberapa model akademi sukan yang berpotensi untuk diadaptasi oleh PSM dalam proses pembangunan Akademi Sukan Sepak Takraw Malaysia,” tambah Suhardi.

 



Source link

OR

Scroll to Top