Sebanyak 40 buah EV diletakkan di tepi padang sebelum diserahkan kepada barisan pemain dan staf kejurulatihan Uzbekistan. Foto Agensi
UZBEKISTAN meraikan kejayaan melayakkan diri ke Piala Dunia 2026 buat kali pertama dalam sejarah dengan menghadiahkan kenderaan elektrik (EV) kepada semua pemain dan barisan kejurulatihan skuad kebangsaan.
Penghargaan itu diumumkan selepas kemenangan bergaya 3-0 ke atas Qatar dalam aksi terakhir Kelayakan Zon Asia di Stadium Pakhtakor, Tashkent pada Selasa lalu.
Skuad kendalian Timur Kapadze itu telah mengesahkan kemaraan ke pentas Piala Dunia pada 6 Jun lalu selepas seri tanpa jaringan ketika bertemu Emiriah Arab Bersatu (UEA) di Abu Dhabi.
Presiden Shavkat Mirziyoyev turut menandatangani dekri khas bagi menganugerahkan pingat dan gelaran kehormat kepada beberapa anggota pasukan.
Lapor Kursiv Media, sebanyak 40 buah kereta jenama BYD digerakkan masuk ke padang sebaik perlawanan tamat, dengan kunci diserahkan kepada setiap pemain dan jurulatih.
Uzbekistan yang menghuni tangga ke-57 dunia menamatkan kempen kelayakan di tempat kedua kumpulan di belakang Iran. Qatar dan UAE pula akan meneruskan saingan dalam pusingan kelayakan seterusnya.