Slamfest 2025 : Juara gusti, ‘Dreamkiller’ Azroy sedia pertahan maruah negara berdepan Jones

Slamfest 2025 : Juara gusti, ‘Dreamkiller’ Azroy sedia pertahan maruah negara berdepan Jones


SEJARAH bakal tercipta apabila bintang gusti profesional terbaik Malaysia akan menentang juara WWE Independent Development (WWE ID) dalam pertarungan penuh mendebarkan, sekali gus dijangka mengangkat arena gusti tanah air ke tahap tertinggi.

Ia bukan pertarungan biasa, sebaliknya bakal terpahat dalam tinta sejarah apabila bintang gusti Malaysia buat julung kalinya menentang pemegang gelaran WWE ID di laman sendiri pada pertembungan Slamfest 2025 .

‘Dreamkiller’ Azroy, pengusti berbahaya Malaysia, bakal menentang juara lelaki WWE ID, Cappuccino Jones.

Dikenali dengan corak permainan minda dan serangan tanpa belas kasihan, Azroy akan menghadapi perlawanan terbesar dalam kariernya, satu pertembungan antara semangat tempatan dan kejuaraan antarabangsa.

Pertarungan Slamfest 2025 itu dianjurkan bersama oleh APAC Wrestling dan Coaction Events akan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara pada 30 Ogos ini.

Bagi kategori wanita pula, Nor ‘Phoenix’ Diana, ikon negara dan ahli gusti berhijab pertama di dunia akan menentang lawan paling sukar setakat ini iaitu Kylie Rae, veteran yang pernah menakluk AEW, Impact Wrestling dan NWA, dan kini bergelar Juara Wanita pertama WWE ID.

Pertarungan tersebut dijangka menjadi pertembungan Timur dan Barat, dengan Diana berjuang bukan sahaja demi kemenangan, tetapi demi maruah negara di hadapan bangsanya sendiri.

Kehadiran juara WWE ID di Malaysia bukan sahaja membuka mata dunia terhadap bakat tempatan, tetapi juga memberi isyarat bahawa gelanggang gusti tanah air kini semakin hampir dengan pentas antarabangsa.

WWE ID merupakan inisiatif global yang diwujudkan untuk mencungkil bakat bebas dari seluruh dunia dan membuka laluan ke dalam sistem pembangunan WWE.

Kini, buat kali pertama bakat Malaysia diberi ruang untuk melangkah terus ke pentas dunia, bukan lagi sekadar pemerhati, tetapi sebagai petarung.

Menerusi produksi bertaraf antarabangsa, barisan perlawanan yang padat dengan juara dan bintang kegemaran peminat, serta kehadiran nama besar dari WWE ID, Slamfest 2025 dijangka menjadi acara gusti profesional terbesar pernah dianjurkan di Malaysia.

Pengasas bersama APAC Wrestling, Shaukat berkata, pertarungan tersebut bukan sekadar acara hiburan, tetapi ia merupakan suara Malaysia di pentas dunia.

“Sudah tiba masanya juara kita diberi tempat yang sewajarnya. Mereka akan berdiri sebaris, berentap setanding dan membuktikan bahawa Malaysia bukan lagi pemain kecil dalam dunia gusti,” katanya.

Selain barisan bintang tempatan dan antarabangsa paling hebat yang pernah dikumpulkan, pertembungan kejuaraan WWE ID Slamfest 2025 turut menampilkan barisan perlawanan blockbuster yang menghimpunkan kuasa besar gusti dari Malaysia, Singapura, Australia, Jepun dan rantau Asia Pasifik.

Mendahului senarai adalah Shaukat yang merupakan pelopor gusti profesional Malaysia, pengasas APAC Wrestling dan rakyat Malaysia pertama yang bertarung di televisyen nasional Amerika Syarikat.

Beliau bakal membuat perhitungan dengan Raj Dhesi (dahulunya dikenali sebagai Jinder Mahal), bekas juara WWE yang membuat kemunculan pertama di Asia Tenggara.

Penonton akan turut menyaksikan gabungan legenda dan bintang muda Joshi Wrestling dari Jepun seperti Kira Summer dan Mio Shirai, serta bintang utama dari Australia dan pesaing utama rantau ini.

Dengan aksi Kejuaraan APAC, pertarungan wanita empat penjuru, Slamfest Tag Team Cup Gauntlet dan perlawanan rentas promosi yang dinanti-nantikan, Slamfest 2025 menjanjikan satu malam yang bakal menyaksikan keberanian anak tempatan diuji di pentas antarabangsa dan bakal melakar sejarah di bumi Malaysia.

Slamfest 2025 dianjurkan dengan sokongan Tourism Malaysia.



Source link

OR

Scroll to Top