Slot akui Liverpool bernasib baik tidak dibelasah PSG

Slot akui Liverpool bernasib baik tidak dibelasah PSG


PENGENDALI Liverpool, Arne Slot secara terbuka mengakui skuad kendaliannya bernasib baik kerana tidak pulang dengan keputusan lebih buruk selepas tunduk 0-2 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi pertama suku akhir Liga Juara-Juara, awal pagi Khamis.

Dua gol yang dihasilkan pada setiap babak menerusi Desire Doue dan Khvicha Kvaratskhelia sudah cukup untuk memberi kelebihan selesa buat juara bertahan Eropah itu sebelum bertandang ke Anfield untuk aksi timbal balik, minggu depan.

Bagaimanapun, keputusan di Parc des Princes itu boleh menjadi lebih parah buat The Reds sekiranya PSG tidak mensia-siakan deretan peluang keemasan di penghujung perlawanan selain dua tuntutan penalti tuan rumah yang tidak dilayan pengadil.

Meskipun defisit dua gol masih boleh dikejar namun kekalahan ke-16 Liverpool dalam semua kejohanan musim ini meletakkan anak buah Slot dalam situasi yang cukup mencabar.

Slot tidak berselindung apabila mengakui pasukannya tewas dalam semua aspek pertembungan tersebut.

“Jika melihat kepada keseluruhan perlawanan, saya rasa kami bertuah kerana hanya kalah 0-2.

“Gol pertama itu sukar untuk diterima. Namun, saya fikir adalah satu perkara yang baik apabila kami masih ‘bernyawa’ dalam saingan ini untuk membawa mereka ke Anfield. Kita semua tahu betapa hebatnya suasana Anfield buat kami,” katanya kepada TNT Sports.

Liverpool terpaksa berterima kasih kepada penjaga gol, Giorgi Mamardashvili yang mempamerkan aksi cemerlang dengan deretan menyelamat bagi menghalang pintu golnya terus dibolosi.

Malah, Ousmane Dembele hampir menambah gol ketiga pada minit-minit terakhir namun percubaannya sekadar menggegar tiang gol.

Dalam usaha mengekang asakan PSG, Slot mempertaruhkan formasi 5-3-2 namun taktikal itu memakan diri apabila jentera serangan mereka tampil tumpul.

Statistik menunjukkan Liverpool gagal mencatatkan sebarang percubaan tepat dalam perlawanan Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak enam tahun lalu.

Ketika ditanya sama ada pasukannya mencipta peluang yang mencukupi, pengendali dari Belanda itu memberikan jawapan ringkas.

“Ya dan tidak. Ya, kerana kami mahu mencipta lebih banyak peluang, tetapi tidak kerana memang tiada ruang buat kami untuk berbuat demikian.

“Kami cuba melakukan tekanan tinggi, tetapi mereka berjaya membolosi kami apabila kami cuba bermain secara ‘man-to-man’. Ia juga berlaku di babak kedua walaupun ada beberapa ketika pemain kami berada di kedudukan yang menjanjikan,” ujarnya.

Kini, tumpuan beralih ke Anfield di mana Liverpool memerlukan satu lagi malam keajaiban Eropah untuk memadamkan kelebihan PSG dan melangkah ke peringkat separuh akhir.



Source link

OR

Scroll to Top