Slot berang tindakan Ekitike

Slot berang tindakan Ekitike


Tindakan Ekitike (kiri) membuka baju selepas menjaringkan gol mengundang padah apabila dilayangkan kad kuning kedua sekali gus dibuang padang dalam perlawanan Piala Liga menentang Southampton. – Foto: AFP

PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menyelar tindakan Hugo Ekitike yang menerima layangan kad merah selepas menjaringkan gol kemenangan menentang Southampton dalam aksi Piala Liga pada Rabu.

Ekitike yang dimasukkan menggantikan Alexander Isak pada separuh masa kedua, terlebih dahulu dilayangkan kad kuning kerana menendang bola dalam keadaan marah.

Namun, tindakannya membuka baju ketika meraikan jaringan lima minit sebelum tamat perlawanan mengundang padah apabila menerima kad kuning kedua.

Situasi itu memaksa Liverpool beraksi dengan 10 pemain untuk mempertahankan kelebihan 2-1 sehingga tamat permainan.

Kapten The Reds, Andy Robertson menyifatkan tindakan Ekitike itu sebagai ‘perkara bodoh’ kerana sudah mempunyai kad kuning, manakala Slot turut menegaskan perkara sama.

“Saya rasa ia tetap bodoh walaupun anda belum ada kad kuning. Mungkin saya agak lama cara berfikir, tetapi kalau saya menjaringkan gol seperti itu, saya akan terus berpaling kepada Federico Chiesa dan katakan ‘ini semua tentang awak, hantaran dan larian awak sangat hebat, saya tidak perlu buat banyak pun’.

“Tindakan itu tidak bijak langsung… kini dia digantung untuk aksi Sabtu ini dan ia langsung bukan situasi ideal,” katanya.

Ekitike kemudian memohon maaf menerusi Instagram dengan berkata: “Emosi menguasai saya malam ini. Maafkan saya seluruh keluarga The Reds…”

Liverpool yang kini mendahului liga dengan rekod 100 peratus kemenangan bakal berdepan cabaran sukar menentang Crystal Palace yang masih belum tewas.

Dalam perlawanan Piala Liga itu, Slot menurunkan kesebelasan utama berbeza sepenuhnya berbanding aksi menentang Everton hujung minggu lalu, dengan Isak diturunkan sejak awal dan berjaya meledak gol pertamanya bersama kelab.

Slot mengakui aksi pasukannya tidak begitu baik kerana ramai pemain yang lama tidak beraksi namun yakin Isak akan diberi lebih banyak minit permainan selepas ini.

“Dia akan dapat masa permainan yang lebih, cuma mungkin hanya benar-benar berada pada tahap terbaik selepas rehat antarabangsa nanti,” katanya.

Ringkasan AI

  • PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menyelar tindakan Hugo Ekitike yang menerima kad merah dalam perlawanan Piala Liga
  • Ekitike menerima kad kuning kedua akibat membuka baju ketika meraikan gol, memaksa Liverpool bermain dengan 10 pemain
  • Kapten The Reds, Andy Robertson, dan Slot menyifatkan tindakan Ekitike sebagai bodoh kerana sudah mempunyai kad kuning
  • Ekitike memohon maaf di Instagram, mengakui emosi menguasai dirinya
  • Liverpool mendahului liga dengan rekod 100% kemenangan dan akan berdepan Crystal Palace yang belum tewas



Source link

OR

Scroll to Top