Slot (tengah) mahu pemainnya bangkit dan mencipta kemenangan selepas pamer persembahan buruk sebelum ini. Foto Agensi
PENGENDALI Liverpool, Arne Slot mengingatkan anak buahnya agar segera menghentikan rentetan kekalahan yang boleh menjejaskan keyakinan pasukan selepas tewas enam daripada tujuh perlawanan terakhir.
The Reds kini berdepan tekanan besar selepas tumbang empat kali berturut-turut dalam aksi liga menjelang pertemuan menentang Aston Villa di Anfield awal pagi Ahad.
Kekalahan 0-3 kepada Crystal Palace dalam saingan Piala Liga pertengahan minggu lalu turut menambahkan kesuraman suasana di kelab Merseyside itu.
Slot menerima kritikan hebat apabila menurunkan barisan muda ketika menentang Palace, namun beliau mempertahankan keputusan tersebut sebagai langkah perlu untuk mengelak risiko kecederaan baharu kepada tonggak utama.
Antara pemain yang masih tidak dapat diturunkan ialah Alisson Becker, Alexander Isak dan Jeremie Frimpong, manakala Ryan Gravenberch baru sahaja kembali menjalani latihan selepas pulih daripada kecederaan buku lali.
Jadual padat yang menanti Liverpool juga menjadi pertimbangan utama Slot, dengan pasukannya bakal menentang Villa diikuti pertemuan getir menentang Real Madrid dalam Liga Juara-Juara di Anfield pada Selasa, sebelum berdepan Manchester City dalam aksi liga minggu depan.
“Kami masih memiliki ramai pemain berkualiti untuk ketiga-tiga perlawanan ini, tetapi saya perlu menguruskan beban mereka dengan cermat,” katanya.
Perbezaan prestasi Liverpool dan Villa musim ini turut mencuri perhatian.
Lima perlawanan pertama menyaksikan Villa ketinggalan 12 mata di belakang Liverpool, namun kini kedua-dua pasukan hanya dipisahkan oleh perbezaan jaringan selepas kebangkitan mengagumkan anak buah Unai Emery.
Slot melihat situasi itu sebagai bukti bahawa perubahan dalam liga boleh berlaku dengan pantas.
“Selain Arsenal, kebanyakan pasukan berada dalam kelompok mata yang hampir sama. Ia menunjukkan betapa sengitnya saingan musim ini.
“Kadang-kadang kami menguasai perlawanan tetapi tetap gagal menang. Villa berjaya keluar daripada situasi itu dan saya mahu kami melakukan perkara sama.
“Kami perlu berhenti mengulangi kesilapan dan menjadikan kemenangan satu kebiasaan semula,” katanya.
Ringkasan AI
- Pengendali Liverpool, Arne Slot mengingatkan anak buahnya agar segera menghentikan rentetan kekalahan
- The Reds berdepan tekanan besar selepas tumbang empat kali berturut-turut dalam aksi liga
- Kekalahan 0-3 kepada Crystal Palace dalam saingan Pala Liga menambahkan kesuraman suasana
- Slot mempertahankan keputusan menurunkan barisan muda untuk mengelak risiko kecederaan kepada tonggak utama
- Jadual padat menanti Liverpool dengan pertemuan menentang Aston Villa, Real Madrid dalam Liga Juara-Juara dan Manchester City dalam aksi liga





