Slot puas hati biarpun Isak belum menyengat

Slot puas hati biarpun Isak belum menyengat


PENGENDALI Liverpool, Arne Slot tetap berpuas hati dengan aksi sulung Alexander Isak dalam kesebelasan utama The Reds biarpun pasukannya tewas 1-2 kepada Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Stadium Selhurst Park.

Pemain berusia 26 tahun yang dibawa masuk dari Newcastle United dengan rekod perpindahan £125 juta (RM714 juta) pada hari terakhir jendela perpindahan, diberi peluang tampil selama 84 minit selepas hanya beraksi sebagai pemain gantian dalam perlawanan sebelum ini menentang Everton, Atletico Madrid (Liga Juara-Juara) dan Southampton (Piala Liga).

Dalam aksi yang diakhiri dengan jaringan kemenangan bekas bintang Arsenal, Eddie Nketiah pada minit akhir perlawanan, Isak gagal menemui sentuhan pemusnah meskipun mencatat tiga percubaan tersasar dan dua peluang besar yang tidak disempurnakan.

Slot bagaimanapun mempertahankan keputusan menurunkan penyerang Sweden itu hampir sepenuh masa, sambil menegaskan situasi perlawanan yang berintensiti rendah membolehkannya memberi lebih banyak minit permainan kepada pemain baharu berkenaan.

“Perlawanan ini agak perlahan. Palace lebih banyak bertahan dengan 10 pemain di kawasan sendiri. Malah, penjaga gol mereka juga mengambil masa untuk melambatkan permainan. Jadi intensiti sangat rendah.

“Kalau dalam perlawanan lebih terbuka dengan kedua-dua pasukan mahu melakukan tekanan tinggi, mungkin saya tidak akan biarkan Isak bermain selama itu. Tapi dalam suasana begini, penyerang utama tidak banyak terlibat. Itu sebab dia boleh bertahan 84 minit,” jelas Slot.

Pengendali dari Belanda itu turut menilai Isak semakin hampir mencetak gol, namun sedikit gangguan lawan menyebabkan peluang keemasan berkenaan terlepas.

“Dia hampir menjaringkan gol biarpun diasak pemain lawan membuatkan dia hilang imbangan ketika mahu menyudahkan peluang. Ia sudah cukup mengganggu.

“Apa pun, saya berpuas hati. Prestasinya boleh dikira baik untuk penampilan pertama dalam Liga Perdana Inggeris sebagai kesebelasan utama,” katanya lagi.

Secara keseluruhan, Isak hanya berjaya melakukan satu hantaran sepanjang babak pertama sebelum memperbaiki penglibatannya pada separuh masa kedua, namun tetap gagal mencipta jaringan atau bantuan gol.

Kekalahan di laman The Eagles itu sekali gus menamatkan rekod tanpa kalah Liverpool selepas mengharungi enam perlawanan liga musim ini.

Ringkasan AI

  • Pengendali Liverpool, Arne Slot, berpuas hati dengan aksi Alexander Isak walaupun kalah kepada Crystal Palace
  • Isak dibeli dari Newcastle United dengan rekod perpindahan £125 juta
  • Isak gagal menjaringkan gol meski mencatat tiga percubaan tersasar dan dua peluang besar
  • Slot mempertahankan keputusan bermainkan Isak hampir sepenuh masa kerana perlawanan berintensiti rendah
  • Kekalahan kepada Crystal Palace menamatkan rekod tanpa kalah Liverpool selepas enam perlawanan liga



Source link

OR

Scroll to Top