London: Pengurus Liverpool, Arne Slot memuji kekentalan mental pemainnya selepas menewaskan Newcastle United 3-2 pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam sambil menyifatkan pasukannya menunjukkan mentaliti yang diperlukan untuk meraih keputusan dalam keadaan yang sukar.
Perlawanan itu berlangsung dalam suasana tegang susulan pertikaian Newcastle membabitkan penyerang Alexander Isak, yang dilaporkan menerima tawaran daripada Liverpool bernilai £110 juta (RM685.9 juta) bulan ini.
Juara EPL itu berdepan aksi penuh dramatik di St James Park yang tegang.
Liverpool yang mendahului dua gol mensia-siakan kelebihan itu biarpun Newcastle beraksi dengan 10 pemain selepas Anthony Gordon dilayangkan kad merah pada separuh masa pertama.
Namun, mereka diselamatkan jaringan kemenangan minit ke-100 menerusi pemain muda berusia 16 tahun, Rio Ngumoha.
“Menang di tempat lawan seperti Newcastle, anda sememangnya perlu ada kualiti, terutama dalam suasana seperti ini.
“Bukan kualiti bola sepak kerana itu bukan yang kami pamerkan hari ini kecuali pada gol terakhir yang kami jaringkan.
“Itu sedikit sebanyak menggambarkan apa yang saya lihat setiap hari di padang latihan. Tetapi untuk memiliki mentaliti berjuang di stadium yang begitu ‘panas’ ini, itu memang sesuatu yang anda perlukan jika mahu bersaing hingga ke penghujung musim.
“Menang itu perkara lain, tetapi sekurang-kurangnya untuk bersaing anda mesti mempunyai mentaliti seperti ini – dan itulah yang kami tunjukkan,” kata pengendali dari Belanda itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd