Slot sabar menanti Chiesa kembali pada prestasi sebenar

Slot sabar menanti Chiesa kembali pada prestasi sebenar


London: Pengurus Liverpool, Arne Slot memberi amaran tiada jalan pintas untuk pemain yang ditandatangani pada pramusim, Federico Chiesa kembali kepada prestasi terbaik selepas dibelenggu kecederaan panjang.

Penyerang Itali itu beraksi pada babak kedua ketika Liverpool yang turun selaku juara bertahan Piala Liga menewaskan Southampton, 2-1 pada aksi suku akhir, awal pagi tadi, selepas berehat hampir tiga bulan akibat kecederaan.

Pemain berusia 27 tahun itu hanya membuat penampilan sejak tiba di Anfield dari Juventus dengan rundingan bernilai £12.5 juta (RM70.89 juta).

Tetapi, Slot puas hati dengan apa yang disaksikannya di St Mary’s selepas dia mencabar Chiesa untuk bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dengan pemain depan seperti Mohamed Salah, Cody Gakpo, Luis Diaz, Darwin Nunez dan Diogo Jota.

“Saya fikir, apa yang saya lihat adalah sama dengan apa yang anda jangkakan,” kata Slot.

“Jika pemain tersisih selama lima atau enam bulan, anda tidak boleh menjangkakan sesuatu yang tinggi. Saya melihat pemain turun dan naik.

“Saya lihat detik yang bagus dan kemudian seperti saya rasa ‘OK, anda boleh lakukan lebih baik lagi’. Bagi saya, ia adalah sesuatu yang normal jika pemain tersisih untuk jangka masa yang lama.”

Pengendali Belanda itu yang menyaksikan pasukannya mara ke separuh akhir menerusi jaringan Nunez dan Harvey Elliott, berkata: “Untuk melihat dia kembali kepada tahap terbaiknya bukan mudah. Tetapim memang bagus apabila melihat dia sudah menunjukkan sebahagian kualiti dimiliknya.

“Tetapi, situasinya sama bagi pemain muda iaitu tidak mendapat masa mencukupi untuk bermain pada tahap ini kerana perlu bersaing dengan Mo Salah, Cody Gakpo, Lucho (Diaz), Darwin dan Diogo.

“Tetapi, bagus dapat melihat dia kembali bermain dan turut menampilkan beberapa detik menarik pada perlawanan itu.”

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top