Wirtz aset baharu Liverpool. Foto Agensi
PENGENDALI Liverpool, Arne Slot menyifatkan kehadiran pemain tengah, Florian Wirtz mampu mengisi kekosongan kreativiti yang ditinggalkan oleh Trent Alexander-Arnold susulan penghijrahan bek kanan itu ke kelab LaLiga Sepanyol, Real Madrid.
Slot berkata, juara Liga Perdana Inggeris itu membuat keputusan tepat apabila memecahkan rekod pembelian kelab bagi membawa masuk Wirtz dari kelab Bundesliga, Bayer Leverkusen pada Jun lalu, dalam usaha memperkukuh jentera serangan The Reds menjelang musim baharu.
Pemain Jerman berusia 22 tahun itu sudah pun menampilkan aksi meyakinkan ketika penampilan sulungnya bersama The Reds apabila menang 3-2 dalam perlawanan pramusim menentang Athletic Bilbao di Anfield.
“Saya rasa setiap posisi masih ada ruang untuk diperbaiki. Tapi saya percaya kami telah menambah beberapa senjata baharu, dan Florian adalah salah satu daripadanya.
“Kami kehilangan kreativiti dari bahagian belakang selepas pemergian Trent. Dia cukup istimewa dengan hantaran lintang dan kebolehannya mengesan larian rakan sepasukan. Tapi Florian juga ada kualiti itu, cuma di posisi yang berbeza.
“Dia membawa kreativiti, manakala kelajuan Hugo (Ekitike) serta kedua-dua bek, Milos (Kerkez) dan Jeremie (Frimpong), turut memberi dimensi baharu kepada pasukan,” kata Slot.
Pada masa sama, Slot menegaskan bahawa penting untuk Liverpool terus memperkukuh skuad kerana pencabar-pencabar utama turut aktif dalam jendela perpindahan kali ini.
“Pesaing tidak duduk diam. Mereka juga membawa masuk ramai pemain baharu. Sebab itu saya yakin saingan Liga Perdana Inggeris musim ini akan menjadi antara yang paling menarik,” katanya.
INFO
Liverpool akan membuka tirai musim baharu dengan aksi menentang juara Piala FA, Crystal Palace dalam perebutan Perisai Komuniti pada 10 Ogos, sebelum memulakan kempen mempertahankan kejuaraan liga menentang Bournemouth di Anfield, 16 Ogos ini.