Liverpool: Pengendali Liverpool, Arne Slot, menegaskan pasukannya kekal fokus dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) meskipun timbul laporan bahawa Trent Alexander Arnold semakin hampir menyertai Real Madrid.
Pertahanan England itu sudah lama dikaitkan dengan perpindahan percuma ke Santiago Bernabeu, dan perbincangan antara pemain berusia 26 tahun itu dengan kelab gergasi Sepanyol dilaporkan semakin berkembang.
Alexander Arnold salah seorang daripada tiga tonggak utama Liverpool yang bakal tamat kontrak hujung musim ini, bersama Mohamed Salah dan Virgil van Dijk.
Ketiga-tiga mereka dibenarkan berbincang dengan kelab luar sejak Januari lalu.
Liverpool, yang kini menjadi pilihan utama untuk menjulang EPL, bakal melayan kunjungan musuh setempat Everton pada Khamis selepas rehat antarabangsa.
“Situasi Trent ketika ini adalah dia masih cedera. Jika tidak, mungkin ramai yang akan bercakap mengenai persembahan cemerlangnya bersama England,” kata Slot pada Selasa.
“Tetapi buat masa ini, dia sedang fokus sepenuhnya kepada proses pemulihan dan kami akan cuba membantunya kembali secepat mungkin.
“Sepanjang lapan bulan ini, pelbagai spekulasi timbul mengenai dirinya, Virgil dan Mo. Namun, kami tidak pernah terpengaruh dengan semua itu. Fokus utama kami adalah tugas di atas padang.
“Bagi Virgil dan Mo, mereka mahu menang dalam derby Merseyside. Bagi Trent, dia hanya mahu kembali cergas secepat mungkin.”
Liverpool kini selesa di puncak liga dengan kelebihan 12 mata ke atas Arsenal di tempat kedua, dengan hanya sembilan perlawanan berbaki.
Slot bagaimanapun kekal tenang walaupun pelbagai spekulasi membabitkan pemain-pemain utamanya.
“Situasi ini sudah berlaku selama lapan atau sembilan bulan dan ketiga-tiga pemain ini tetap bermain dengan baik di bawah tekanan berkenaan, jadi ia langsung tidak mengganggu saya,” katanya.
Perlawanan menentang Everton adalah aksi pertama Liverpool sejak kekalahan di final Piala Liga kepada Newcastle, selain tersingkir dari Liga Juara-Juara selepas tewas kepada Paris Saint Germain menerusi penentuan penalti.
“Kami semua sangat menantikan baki sembilan perlawanan musim ini,” kata Slot.
“Para pemain nampak lebih segar selepas rehat.
“Tetapi bukan semuanya negatif. Kami telah bermain di final menentang pasukan Newcastle yang sangat baik, dan kami juga menunjukkan aksi hebat ketika menentang PSG.
“Kami tewas kepada pasukan yang sangat, sangat, sangat bagus, tetapi secara keseluruhan, ia tetap satu perlawanan yang hebat buat kami.”
Slot juga bakal kembali ke tepi padang selepas menjalani penggantungan dua perlawanan susulan kad merah yang diterimanya dalam aksi penuh kontroversi ketika seri 2-2 di Goodison Park pada Februari lalu.
“Saya harap saya akan bertindak berbeza pada masa akan datang, tetapi saya tidak boleh janji,” katanya berseloroh.
“Namun, saya juga pasti bahawa sukar untuk mengalami lapan minit penuh dengan keputusan kontroversi yang merugikan pasukan kami seperti sebelum ini.”
© New Straits Times Press (M) Bhd