PENGENDALI Liverpool, Arne Slot percaya bahawa pasukannya mampu meraih kelebihan berbanding Arsenal dalam dua perlawanan seterusnya dan Anfield kemudiannya akan menjadi penentu dalam perebutan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
Pendahulu liga itu berpeluang untuk melebarkan jurang 10 mata ke atas pencabar terdekat, Arsenal, jika The Reds menang ke atas Aston Villa di Stadium Villa Park pada Khamis ini.
Tugasan sukar di tempat lawan itu diikuti dengan kunjungan ke laman penyandang juara Manchester City yang prestasi semasa tidak konsisten pada Isnin depan.
Arsenal meraih empat mata daripada lawatan ke Villa Park dan Stadium Etihad, dan Slot percaya kedudukan Liverpool akan menjadi lebih kukuh jika kelab Merseyside itu menyamai atau lebih baik daripada pencapaian tersebut.
Sekiranya gagal, bekas pengendali kelab Eredivisie Belanda, Feyenoord Rotterdam itu akan bergantung kepada faktor Anfield, dengan tujuh daripada 11 perlawanan liga terakhir pasukan tersebut berlangsung di tempat sendiri.
“Sebagai pengurus, anda tidak pernah terfikir: ‘Selepas 25 perlawanan, berapa banyak mata yang akan kita peroleh atau ketinggalan?’ Anda hanya berfikir tentang memenangi seberapa banyak perlawanan yang anda boleh dan melaksanakan gaya permainan tertentu untuk mendapatkan seberapa banyak kemenangan yang anda boleh.
“Anda tidak pernah tahu prestasi pasukan lain dan jadual perlawanan juga menentukan bagaimana keadaan akan berjalan.
“Dua perlawanan yang akan kami hadapi sekarang telah pun dimainkan Arsenal – Villa di tempat lawan dan City di tempat lawan. Kemudian kita boleh membuat perubahan dalam dua perlawanan yang akan datang. Jika tidak, maka kita berada dalam keadaan yang sama kerana kita telah bermain banyak perlawanan serupa dan masih ada 11 perlawanan lagi.
“Perkara positifnya ialah, selepas dua perlawanan ini, kami mempunyai tujuh perlawanan di tempat sendiri dan empat perlawanan di tempat lawan. Dan kita semua tahu betapa Anfield boleh membantu kita,” kata Slot.
Slot mengakui tahap prestasi Liverpool merosot dalam dua perlawanan liga yang lalu, menentang Wolves dan Everton.
Bagaimanapun, dia menegaskan bahawa itu adalah akibat membenarkan pasukan David Moyes memainkan corak mereka dalam derbi Merseyside dan kesan emosi daripada gol penyamaan James Tarkowski pada minit ke-98.