LEGENDA badminton negara, Datuk Seri Lee Chong Wei mengimbas kembali kenangan zaman kanak-kanaknya sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dengan menekankan kekuatan Malaysia terletak pada perpaduan rakyat tanpa mengira bangsa.
Menurut bekas jaguh dunia itu, gelanggang pertamanya bukan di dewan serba lengkap, sebaliknya sekadar di jalan tar kampung dengan garisan kapur dilukis sebagai sempadan dan jaring diikat pada dua tiang.
“Di gelanggang kampung itu, saya dan rakan-rakan tidak pernah peduli siapa Melayu, Cina, India, Iban atau Melanau.
“Apa yang kami fikir hanya siapa boleh ‘smash’ lebih kuat, siapa boleh berlari paling laju dan siapa paling awal dapat minum limau ais selepas habis bermain,” katanya.
Chong Wei berkata, pengalaman di gelanggang kecil itu mengajarnya erti lebih besar daripada sekadar permainan badminton iaitu nilai hormat, kerjasama dan persahabatan yang lahir daripada keikhlasan, bukan perbezaan warna kulit.
Katanya, setiap kali melangkah ke pentas dunia sepanjang kariernya, beliau tidak pernah membawa nama sendiri semata-mata, sebaliknya semangat seluruh rakyat Malaysia.
“Setiap kali saya beraksi, saya bukan hanya Lee Chong Wei. Saya ialah Malaysia.
“Kekuatan saya datang daripada perpaduan jutaan rakyat di tanah air yang berbeza bangsa dan agama, tetapi bersatu di bawah satu Jalur Gemilang,” jelasnya pada Ahad.
Berpandukan semangat itu, Chong Wei menyeru rakyat agar terus berdiri bersama dan tidak menjadikan perbezaan sebagai penghalang, sebaliknya sumber kekuatan.
“Kita tidak menyokong Pearly kerana dia Cina. Kita tidak menyokong Thinaah kerana dia India. Kita tidak menyokong Izzuddin kerana dia Melayu. Kita menyokong mereka semua kerana mereka adalah anak Malaysia.
“Seperti di gelanggang kampung, Malaysia akan terus bersinar paling terang apabila kita bermain sebagai satu pasukan. Selamat Hari Merdeka, Malaysia!,” tegasnya merujuk kepada beregu wanita Pearly Tan–M Thinaah serta beregu lelaki Goh Sze Fei–Nur Izzuddin Rumsani.