SME Corp., SHRDC pacu inovasi dan pertumbuhan PKS

SME Corp., SHRDC pacu inovasi dan pertumbuhan PKS


PETALING JAYA: Lebih 70 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan menerima manfaat menerusi penganjuran seminar bertemakan Future Ready SMEs: The Power of Innovation yang berlangsung di ibu pejabat SME Corp. Malaysia, Platinum Sentral, hari ini.

Seminar tersebut merupakan sesi pertama daripada tiga siri yang dianjurkan hasil kerjasama strategik antara SME Corp. Malaysia dan Pusat Pembangunan Sumber Manusia Selangor (SHRDC) bagi memperkasa daya saing dan kesiapsiagaan PKS untuk berkembang ke peringkat global menerusi pendekatan inovasi.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Datuk Nainy berkata, penganjuran seminar berkenaan adalah tepat pada masanya dalam usaha memperkukuh strategi inovasi dalam kalangan PKS berpotensi tinggi.

Katanya, kerjasama itu selari dengan aspirasi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk mentransformasikan PKS tempatan kepada perusahaan berskala sederhana serta memperluaskan pasaran mereka ke luar negara.

“SME Corp. Malaysia percaya bahawa sekarang adalah masa yang tepat untuk menganjurkan seminar ini yang bertujuan untuk melengkapkan PKS dengan pengetahuan dan pendekatan bagi meningkatkan strategi inovasi.

“Dengan memupuk inovasi dalam kalangan PKS, kami harap dapat meningkatkan sumbangan mereka kepada produktiviti negara dan memastikan pertumbuhan mampan dalam landskap ekonomi global yang semakin kompetitif,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif SHRDC, Teh Sook Ling berkata, pihaknya melihat kerjasama berkenaan sebagai landasan penting untuk membina kumpulan tenaga kerja yang inovatif serta mampu menyokong kemajuan negara ke arah ekonomi digital.

Katanya, SHRDC komited menyediakan latihan berasaskan keperluan industri bagi memastikan PKS mampu mengikuti perkembangan teknologi dan kekal relevan.

“Kami percaya kerjasama ini boleh memanfaatkan kekuatan SHRDC dalam membangunkan kumpulan bakat berkemahiran tinggi, inovatif dan mampu menyokong peralihan Malaysia ke dalam ekonomi digital.

“SHRDC memainkan peranan penting dengan menyediakan latihan yang didorong industri untuk memenuhi keperluan perniagaan masa kini,” katanya.

Seminar seterusnya dalam siri ini dijadualkan berlangsung pada Julai dan Ogos 2025 di Kuala Lumpur dengan penyertaan terhad kepada PKS terpilih berdasarkan penilaian khas. SME Corp.

Malaysia dan SHRDC turut mengalu-alukan penyertaan PKS yang berminat untuk menyertai inisiatif transformasi ini. – UTUSAN





Source link

OR

Scroll to Top