SMK Meru akan berdepan SMK Telok Panglima Garang di separuh akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 pada Khamis.
DUA pasukan pilihan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Harun dan SMK Meru mengesahkan tempat separuh akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun 2025 selepas menundukkan lawan masing-masing dalam aksi suku akhir pada Rabu.
Pada perlawanan di Padang Arena 26, naib juara Piala Sumbangsih, SMK Dato’ Harun mara selepas menewaskan SMK Bandar Saujana Putra, 2-1.
Sementara di Padang MBSA Seksyen 28 SMK Meru pula mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas SMK Jalan Reko, Bandar Baru Bangi.
Wakil Shah Alam, SMK Seksyen 19 pula menempah tiket ke separuh akhir selepas menewaskan SMK Taman Tasik dari Ampang, 1-0.

SMK Dato’ Harun berdepan ujian SMK Seksyen 19 di pentas empat terbaik Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18. Foto Sinar Harian ROSLI TALIB
SMK Taman Tasik sebelum ini mencipta kejutan apabila menyingkirkan juara bertahan SMK Shah Alam, 3-2 dalam Pusingan 16.
Satu lagi perlawanan suku akhir yang berlangsung sengit menyaksikan SMK Telok Panglima Garang mara ke separuh akhir selepas menewaskan SMK Bandar Tasik Puteri, Rawang 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.
Kedua-dua pasukan terikat 2-2 selepas masa penuh yang berlangsung di padang Arena 26, Shah Alam.
Pentas separuh akhir pada Khamis bakal menyaksikan SMK Telok Panglima Garang menentang SMK Meru di padang Seksyen 28, Shah Alam.
SMK Dato’ Harun pula akan melayan kunjungan SMK Seksyen 19 di padang A Majlis Bandaraya Shah Alam Seksyen 28, Shah Alam.
Kejohanan ini mendapat sokongan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad selaku penaja utama manakala Sinar Harian sebagai media rasmi