sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: SMK Mutiara Impian terus mengukuhkan kedudukan selaku pendahulu Kumpulan A selepas tidak berdepan masalah untuk menewaskan SMK Tabuan Jaya 3-1 dalam aksi Liga Bola Sepak Piala Menteri Pendidikan Malaysia Bawah 14 Tahun 2026, semalam.
Kemenangan itu memastikan skuad kendalian Muhd Faqhri Sobri meneruskan rekod tanpa kalah dengan mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan.
“Walaupun menang dengan satu gol, saya tetap menghargainya kerana dalam liga kali ini kami memerlukan perbezaan gol yang banyak. Kami perlu muncul juara kumpulan untuk mengelak daripada bertemu juara kumpulan lain,” kata Faqhri.
Dalam perlawanan itu, tiga jaringan SMK Mutiara Impian hadir menerusi Muhd Habib Muslim Muhd Zaki, Muhd Safwan Salihin Thalhah dan Muhd Qayyum Qadri Tarmizi, manakala gol tunggal SMK Tabuan Jaya dijaringkan Kelvin Luis Lajah.
Dalam kumpulan sama, SMK Shah Alam terus merapatkan jurang dengan pendahulu liga apabila kini hanya dibezakan satu mata selepas mencatat kemenangan besar 5-0 ke atas SMK Mergong, sekali gus meraih kemenangan ketiga berturut-turut dalam saingan kumpulan.
Dalam Kumpulan B, SMK Seri Titiwangsa mempamerkan aksi dominan apabila membelasah SMK Mutiara 6-0 untuk mencatat kemenangan kedua berturut-turut.
Keputusan itu mengukuhkan kedudukan skuad kendalian Amir Ikhmal Zuhaimi di persada kumpulan dengan enam mata.
© New Straits Times Press (M) Bhd
