Kesebelasan utama pasukan SMK Seksyen 19, Shah Alam Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18.
PENGURUS pasukan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 19, Shah Alam, Mohammad Khairil Badiizaman menegaskan rekod bersih pasukan pada peringkat kumpulan bukan satu tekanan, sebaliknya menjadi sumber motivasi menjelang aksi Pusingan 16 Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18) 2025 menentang SMK Bandar Rinching di Padang MBSA Seksyen 19, pada Isnin.
SMK Seksyen 19 sebelum ini tampil cemerlang apabila memenangi semua perlawanan peringkat Kumpulan G, manakala lawan mereka, SMK Bandar Rinching, melangkah ke pusingan kalah mati selaku naib juara Kumpulan B dengan rekod seimbang.

Pasukan SMK Seksyen 19, Shah Alam pertaruh momentum positif peringkat kumpulan apabila berdepan SMK Bandar Rinching dalam aksi Pusingan 16 Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 di Padang MBSA Seksyen 19, pada Isnin.
“Rekod bersih sebenarnya memberi motivasi tambahan kepada kami kerana ia membuktikan disiplin dan kerja keras pemain selama ini membuahkan hasil.
“Namun, aksi kalah mati berbeza kerana tiada ruang untuk kesilapan. Jadi, kami perlu turun dengan mentaliti baharu dan fokus sepenuhnya,” katanya kepada Sukan Sinar.
Mengulas mengenai status lawan sebagai pasukan underdog, Mohammad Khairil enggan mengambil mudah cabaran SMK Bandar Rinching yang dijangka tampil dengan corak permainan lebih berani.
“Status underdog tidak boleh dipandang ringan. Mereka pasti akan turun dengan semangat luar biasa dan mungkin melakukan perubahan strategi.
“Apa jua pendekatan mereka, kami sudah membuat persediaan rapi dan yakin mampu menyesuaikan diri sepanjang perlawanan,” jelasnya.

Pusingan 16 Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 2025.
Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa aspek mental menjadi keutamaan pasukan untuk mengharungi cabaran penting ini.
“Taktikal dan kecergasan sememangnya dilatih rapi, tetapi kekuatan mental lebih penting dalam perlawanan besar seperti ini.
“Pemain perlu kekal fokus, tenang dan konsisten dari minit pertama hingga akhir. Itulah kunci utama yang kami tekankan dalam persiapan,” ujarnya.
Kejohanan ini mendapat sokongan Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad selaku penaja utama dengan tajaan bernilai RM225,000 untuk Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 Tahun dan Piala Raja Muda Selangor B-12 Tahun, manakala Sinar Harian sebagai media rasmi.