SMK Shah Alam laung amaran awal apabila merangkul Piala Sumbangsih Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18.FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
PENYANDANG juara, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam, memulakan misi mempertahankan kejuaraan dengan penuh bergaya apabila menewaskan SMK Dato’ Harun 5-1 pada aksi Piala Sumbangsih sempena tirai pembukaan Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 Tahun (B-18) 2025 di Padang Sintetik Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 19, pada Khamis.
Anak didik Osmera Omaro langsung tidak menunggu lama apabila penyerang mereka, Vincenzo Oliveo D’Dozzel Donny, membuka tirai jaringan seawal minit keempat sebelum Muhammad Hadif Mohamad Hazzuar menggandakan kedudukan enam minit kemudian.
Vincenzo terus mencuri perhatian apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-16, manakala Muhammad Danish Harith Muhammad Zakri menambah derita lawan dengan gol keempat pada minit ke-19 untuk meletakkan tuan rumah selesa di depan.

SMK Dato’ Harun naib juara Piala Sumbangsih selepas tewas kepada SMK Shah Alam. FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
SMK Dato’ Harun yang dibimbing Mohd Zulfadlli Mohamad Ali bagaimanapun berjaya merapatkan kedudukan menerusi jaringan Nor Ikhwan Norisham pada minit ke-34 bagi menghidupkan sisa-sisa harapan.
Namun, segala usaha SMK Dato’ Harun separuh masa kedua akhirnya terkubur selepas Danish Harith kembali menemui sentuhan jaringan pada minit ke-51 untuk melengkapkan kemenangan penuh bergaya 5-1 buat juara bertahan.
Sebagai rekod, SMK Shah Alam diundi dalam Kumpulan A bersama SMK Bukit Rahman Putra, SMK Sultan Abdul Samad dan SMK Telok Panglima Garang, dengan aksi pembukaan menentang SMK Bukit Rahman Putra di Radia, Bukit Jelutong pada Jumaat.
SMK Dato’ Harun pula akan membuka tirai Kumpulan C berdepan SMK Sungai Besar di Padang Unisel Bestari Jaya yang turut menampilkan SMK Meru serta SMK Seksyen 4 Kota Damansara.

SMK Shah Alam laung amaran awal apabila merangkul Piala Sumbangsih Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18. FOTO: SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Majlis penyampaian hadiah kepada juara dan naib juara Piala Sumbangsih disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Kewangan & Perkhidmatan Korporat) Kumpulan Perangsang Selangor (KPS) Berhad, Suzila Khairuddin.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Datuk Emran Kadir; Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Induk Kejohanan, Hashim Anang.
Kejohanan ini mendapat sokongan KPS selaku penaja utama dengan tajaan bernilai RM225,000 meliputi Piala Datuk Mokhtar Dahari B-18 dan Piala Raja Muda Selangor B-12, manakala Sinar Harian bertindak sebagai media rasmi.