IMBAS KEMBALI…Anak buah Osmera mempertahankan kejuaraan Piala Sumbangsih pada 11 November lalu. SMK Shah Alam akan berdepan SMK Tinggi Kajang dalam perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15. Foto: SINAR HARIAN-MOHD HALIM ABDUL WAHID
PENYANDANG juara Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam berpeluang mempertahankan kejuaraan Kejohanan Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 (B-15) Tahun apabila melangkah ke perlawanan akhir pada Selasa.
Skuad kendalian, Osmera Omaro mengesahkan kemaraan ke perlawanan akhir selepas menjinakkan SMK Bukit Kapar bimbingan Hasrul Rasyid Harith, 2-1 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Padang A Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Seksyen 28, Shah Alam.
Anak buah Osmera sebelum ini merangkul Piala Sumbangsih trofi pembuka tirai Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 selepas menewaskan SMK Darul Ehsan, Batu Caves, 2-0 di Stadium Mini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) SMK USJ 23 Subang Jaya, 11 November lalu.
Sebagai rekod, edisi 2023, SMK Shah Alam muncul juara selepas menewaskan SMK Meru, 3-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya.
Pasukan yang berpangkalan di Shah Alam itu kemudian mendakap Piala Sumbangsih Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 apabila menjinakkan SMK Dato’ Harun, Tanjung Karang, 1-0 di padang sintetik MBSA, Seksyen 19, Shah Alam.
Kemenangan itu membolehkan SMK Shah Alam berentap SMK Tinggi Kajang, Kajang dalam perlawanan akhir yang dijadualkan berlangsung di Stadium MBPJ pada Isnin depan.
SMK Tinggi Kajang mara ke perlawanan akhir Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 selepas mengatasi SMK Jalan Tiga.
SMK Tinggi Kajang bimbingan Mohamad Hafizudin Sulaiman mara ke perlawanan akhir selepas mengatasi SMK Jalan Tiga, kendalian Muhammad Amir Mua’ainue Deen 2-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir yang berlangsung di Padang B Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 28, Shah Alam.
Sebagai rekod, pencapaian terbaik SMK Tinggi Kajang dalam saingan Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 adalah tempat ketiga edisi 2018.