BINTANG rap terkenal dunia, Snoop Dogg kini secara rasmi menjadi sebahagian daripada pemilik kelab Liga Kejuaraan England, Swansea City, selepas mengambil alih pegangan minoriti dalam kelab tersebut.
Pemilik nama sebenar Calvin Broadus itu mencuri tumpuan apabila muncul sebagai model jersi baharu kelab untuk musim 2025/26 minggu lalu, sekali gus menandakan permulaan penglibatan rasminya dalam dunia bola sepak Eropah.
Menerusi kenyataan rasmi di laman sesawang kelab, selebriti berusia 53 tahun itu meluahkan rasa teruja menyertai kelab yang digambarkan sebagai simbol kebanggaan masyarakat pekerja dan semangat juang luar biasa.
“Kecintaan saya terhadap bola sepak bukan rahsia, tetapi menyertai Swansea City sebagai pemilik benar-benar memberi makna yang istimewa kepada saya.
“Kisah kelab ini dan latar belakang bandar Swansea sangat menyentuh hati saya.
“Ini sebuah kelab yang mewakili bandar berkelas pekerja yang sentiasa bangkit melawan seperti diri saya sendiri,” ujar Snoop Dogg.
Langkah Snoop Dogg menyertai Swansea menyusuli penyertaan legenda Real Madrid dan Croatia, Luka Modric, yang turut mengambil alih saham kelab pada April lalu.
Modric, yang kini menyertai AC Milan sebagai pemain, menyertai pengambilalihan yang diketuai usahawan Amerika, Brett Cravatt dan Jason Cohen sejak November 2024.
Penglibatan Snoop Dogg, yang memiliki lebih 100 juta pengikut di media sosial, dipercayai berlaku hasil hubungan rapat antara beliau dengan Cravatt dan Cohen.
Menurut pemilik kelab, penyertaan selebriti global seperti Snoop Dogg dijangka memberi impak besar terhadap usaha meningkatkan profil dan daya tarikan kelab, selaras dengan matlamat menjana pendapatan lebih tinggi dan mematuhi peraturan keuntungan serta kelestarian kewangan.
“Untuk memetik satu frasa daripada lagu Snoop sendiri, ini adalah ‘episod baharu’ buat Swansea City.
“Snoop bukan sahaja membawa pengaruh luar biasa dari segi jumlah pengikut dan peminat, malah beliau benar-benar teruja menjadi sebahagian daripada kelab ini.
“Penglibatannya diharapkan dapat membantu kami membentuk skuad yang lebih kompetitif di atas padang,” jelas Cravatt dan Cohen dalam kenyataan mereka.
Sebagai tanda penghargaan atas penglibatan rasmi Snoop Dogg dalam struktur pemilikan kelab, sebuah mural khas telah dilukis di West Stand Stadium Swansea.com.
Sementara itu, Cravatt dan Cohen turut dilaporkan mengunjungi kem latihan pramusim Swansea di Sepanyol minggu ini, bersama barisan pemain dan kejurulatihan.