SKUAD hoki remaja negara bersiap sedia memulakan cabaran dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun, Piala Sultan Johor (SOJC) 2025, yang akan berlangsung dari 11 hingga 18 Oktober ini di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.
Malaysia dijadual membuka tirai saingan menentang Pakistan pada perlawanan pertama, sebelum berdepan Australia (12 Oktober), New Zealand (14 Oktober), Great Britain (15 Oktober) dan India (17 Oktober) dalam aksi peringkat kumpulan.
Kejohanan edisi ke-13 itu menyaksikan penyertaan enam negara termasuk Malaysia selaku tuan rumah, di samping Great Britain (juara bertahan), Australia (naib juara tahun lalu), India, New Zealand dan Pakistan, yang akan bersaing merebut gelaran berprestij tersebut.
Pengurus Pasukan Remaja Lelaki Kebangsaan, Selvendran Saravanamuthu berkata kejohanan SOJC merupakan pentas penting dalam persiapan menuju ke Piala Dunia Remaja di India memandangkan semua pasukan yang mengambil bahagian di Johor turut akan beraksi di kejohanan dunia itu.
“SOJC sangat penting untuk hala tuju pasukan ke Piala Dunia Remaja kerana ia satu-satunya kejohanan antarabangsa bawah 21 tahun yang menghimpunkan pasukan-pasukan antarabangsa.
“Pasukan ini telah menerima pendedahan dengan sebaiknya di mana sebelum SOJC bermula, mereka telah ke China pada bulan Mei, kemudian sertai Kejohanan Hoki Piala Emas MCC Murugappa All India edisi ke-96 di India seterusnya pada Ogos mereka menjalani siri jelajah persahabatan di Australia.
“Latihan pendedahan mereka turut bersambung pada September apabila sekali lagi ke China, menjalani aksi persahabatan bersama pasukan Liaoning dan persiapan terakhir adalah aksi persahabatan menentang Bangladesh baru-baru ini. Jadi dari sudut pendedahan dan persiapan, pasukan ini telah dipersiapkan dengan sebaiknya.
“Tentu kami barisan kejurulatihan dan pengurusan berharap pasukan ini mampu memberikan saingan terbaik dan melangkah sejauh yang boleh pada kejohanan kali ini,” katanya.
Bagi edisi kali ini, seramai lima pemain berusia 21 tahun disenaraikan dalam skuad akhir iaitu Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar, Muhammad Addy Jazmi Jamlus, Muhammad Handzalah Abdul Hadi, Mohammad Harris Iskandar Osman dan Yashvindraa Singaravadivel.
Sembilan pemain yang pernah beraksi dalam SOJC edisi lalu turut dikekalkan termasuk Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee, Azimuddin Syakir Kamaruddin, Muhammad Nabil Irfan Mohd Yusof, Andywalfian Jeffrynus, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari serta Naaveennash Panicker Thevendran, selain beberapa muka baharu yang menonjol.
Ringkasan AI
- SKUAD hoki remaja negara bersiap sedia untuk cabaran Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun, Piala Sultan Johor 2025
- Malaysia akan bertanding menentang Pakistan, Australia, New Zealand, Great Britain dan India dalam peringkat kumpulan
- Kejohanan melibatkan enam negara termasuk Malaysia sebagai tuan rumah dan Great Britain sebagai juara bertahan
- SOJC dianggap penting sebagai persiapan menuju ke Piala Dunia Remaja di India
- Pasukan telah mendapatkan pendedahan dan latihan intensif termasuk perlawanan persahabatan di China dan Australia