Adik kepada pendakwah selebriti, Da’i Syed, mendedahkan perubahan ketara dalam karakter abangnya selepas peristiwa yang berlaku pada Ogos 2024.
Menerusi hantaran di Instagram, Iqbal Jamalulleil atau lebih dikenali sebagai Syed Iqbal berkongsi pemerhatiannya terhadap sikap abangnya yang disifatkan semakin mendekatkan diri kepada Allah SWT, selain lebih bertanggungjawab dalam peranan sebagai anak, abang, bapa dan suami.
“Selepas peristiwa Ogos 2024, karakter abang aku sangat berlainan. Dia jadi seorang anak, abang, bapa dan suami yang sangat baik.
“Solat di awal waktu, lama solatnya, suka bersedekah, melayani orang dengan baik dan tak suka bercakap keburukan orang.
“Mengingatkan orang tentang Allah dan suka jamu orang makan. Tidak henti buat amalan setiap hari dan tak habis-habis minta keampunan daripada Allah SWT.,” katanya.
Menurut Iqbal, perkongsiannya itu tiada sebarang niat untuk mempertahankan abangnya atau meminta simpati orang ramai.
“Aku tak menyebelahi dia, bukan juga menunggang agama untuk dapatkan simpati. Selama ini aku tak pernah kongsi tentang dia, tapi ini realiti. Tentang taubat sampai aku sendiri rasa ‘insecure’ melihat dia yang semakin soleh.
“Walaupun nasib tak berpihak kepada dia hari ini, tak lekang di bibirnya menyebut hikmah Allah,” luahnya.
Iqbal turut berkongsi detik terakhir bersama abangnya sebelum berpisah, apabila Da’i Syed berpesan kepada ibu mereka agar menganggap dirinya seperti masuk ke pondok pengajian, selain meminta tasbih untuk berzikir.
“Dia senyum tunjuk kuat depan kami, tapi hati hanya Allah yang tahu,” katanya.

Pada Jumaat, Mahkamah Tinggi Shah Alam mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan terhadap Da’i Syed atas kesalahan merogol seorang wanita, lima tahun lalu.
Terdahulu, pada 10 Disember 2020, tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita berusia 23 tahun di sebuah kondominium di I-City, Seksyen 7, pada awal pagi 11 September 2019. Pada 30 Ogos 2024, Mahkamah Sesyen mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun serta tiga sebatan.
Bagaimanapun, pada 20 September 2024, tertuduh dibenarkan keluar sementara dengan jaminan sementara menunggu proses rayuan di Mahkamah Tinggi selesai.
Artikel Berkaitan: [VIDEO] Da’i Syed Terima Dugaan, Kurang Tawaran Kerja Tapi Tetap Bersyukur
Artikel Berkaitan: Hana Ismail Ambil Keputusan Besar, Rehat Panjang Dari Dunia Pengacaraan Demi Keluarga – “Da’i Syed Nasihat Supaya Saya…”






