Solat tarawih di tengah malam

Solat tarawih di tengah malam


Foto hiasan.

– Advertisement –

BERMULA waktu solat tarawih ialah waktu solat Isyak sama sebagaimana waktu solat witir dan disyaratkan hendaklah dikerjakan selepas ditunaikan solat Isyak dan kekal waktu solat tarawih ini sampai terbit fajar yakni masuk waktu subuh.

– Advertisement –

Jika seseorang itu belum menunaikan solat Isyak maka belum dikira masuk waktu solat tarawih bagi orang tersebut walaupun dia telah tunaikan solat Maghrib dan walaupun sudah masuk waktu Isyak.

Dan begitu juga jika dia kerjakan tarawih sebelum waktu Isyak melainkan pada masalah jamak takdim.

Maka barangsiapa mengerjakan solat tarawih dalam waktu Maghrib sebelum dia tunaikan solat Isyak terlebih dahulu maka solat tarawihnya itu tidak sah.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:

وَلَوْ صَلاَّهَا بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَقَبْل الْعِشَاءِ فَجُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ وَهُوَ الأْصَحُّ عِنْدَ الْحَنَفِيَّةِ عَلَى أَنَّهَا لاَ تُجْزِئُ عَنِ التَّرَاوِيحِ

Ertinya: “Jika seorang itu kerjakan solat tarawih selepas solat Maghrib tetapi sebelum solat Isyak maka pendapat jumhur fuqahak dan pendapat yang lebih sahih dalam Mazhab Hanafi bahawasanya solat tersebut tidak memadai sebagai solat tarawih.”

Adapun jika dikerjakan dalam waktu Maghrib pada masalah solat jamak takdim maka iaitu sah yakni dikerjakan akan tarawih itu selepas ditunaikan solat Isyak jamak takdim dalam waktu Maghrib.

Berkata Imam Nawawi:

يَدْخُلُ وَقْتُ التَّرَاوِيحِ بِالْفَرَاغِ مِنْ صَلَاةِ الْعِشَاءِ ذَكَرَهُ الْبَغَوِيّ وَغَيْرُهُ وَيَبْقَى إلَى طُلُوعِ الْفَجْرِ

Ertinya: “Masuk waktu solat tarawih itu ialah dengan selesai dari menunaikan solat Isyak. Telah menyebutnya oleh Imam Al-Baghawi dan lainnya. Dan berkekalan waktu solat tarawih itu hingga terbit fajar.” (Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhzzab)

Dan berkata oleh Syeikh Said Al-Hadhrami As-Syafie:

(ووقتها): (بين) فعل (العشاء) ولو مقدمة في الجمع (و) طلوع (الفجر) الصادق كالوتر

Ertinya: “Bermula waktu solat tarawih itu ialah antara dikerjakan solat isyak sekalipun isyak jamak takdim dan terbit fajar sadiq (subuh) sama seperti witir.” (Kitab Busyral Karim)

Berkata Syeikh Abdurrahman Al-Jaziri:

أما وقتها فهو من بعد صلات العشاء، ولو مجموعة جمع تقديم مع المغرب

Ertinya: “Adapun waktu solat tarawih itu yaitu selepas menunaikan solat Isyak walaupun dengan jamak takdim serta solat Maghrib.” (Kitab Al-Fiqh ‘Ala Mazahib Al-Arba’ah)

Maksudnya masuk waktu menunaikan solat tarawih ialah selepas ditunaikan solat Isyak dan berkekalan waktunya sampai masuk waktu subuh.

Seperti yang telah disebut dahulu bahawa disyaratkan bagi sah menunaikan solat tarawih itu ialah selepas seseorang itu menunaikan solat Isyak.

Maka jika dia baru menunaikan solat Isyak jam 12 tengah malam maka saat itulah bermulanya waktu solat tarawih baginya.

Barangsiapa lakukan solat tarawih sebelum dia tunaikan solat Isyak sekalipun sudah hampir terbit fajar maka solat tersebut tidak sah.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:

وَلَوْ صَلاَّهَا بَعْدَ الْمَغْرِبِ وَقَبْل الْعِشَاءِ فَجُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ وَهُوَ الأْصَحُّ عِنْدَ الْحَنَفِيَّةِ عَلَى أَنَّهَا لاَ تُجْزِئُ عَنِ التَّرَاوِيحِ

Ertinya: “Kalau seorang kerjakan solat tarawih selepas Maghrib dan sebelum Isyak maka jumhur ulamak fiqh iaitu Mazhab Maliki dan Syafie dan Hanbali dan pendapat paling sahih Mazhab Hanafi bahawasanya ia tidak menjadi solat tarawih.”

Maksud selepas solat Isyak itu ialah selepas orang yang hendak solat tarawih itu tunaikan solat Isyak bukan selepas orang lain tunaikan solat Isyak.

Oleh itu tidak sah dikerjakan solat tarawih sebelum ditunaikan solat Isyak sekalipun di dalam waktu Isyak dan sekalipun orang lain sudah tunaikan solat Isyak.

Berkata Imam Nawawi:

يَدْخُلُ وَقْتُ التَّرَاوِيحِ بِالْفَرَاغِ مِنْ صَلَاةِ الْعِشَاءِ

Ertinya: “Masuk waktu solat tarawih itu dengan selesai seorang dari menunaikan solat fardu Isyak.” (Kitab Al-Majmu’)

Jika selepas menunaikan solat tarawih seorang itu sedar bahawa solat Isyak yang telah dia kerjakan sebelum itu tidak sah seperti terlupa wuduk atau terbuka auratnya atau seumpamanya maka hendaklah diulangi akan solat tarawih kerana solat tarawih yang dia kerjakan itu tidak sah kerana dia dikira belum menunaikan solat Isyak.

Dan jadilah solat tarawih yang dia kerjakan selepas solat Isyak yang tidak sah itu sebagai solat sunat mutlak.

Berkata Syeikh Al-Bujairimi:

وَلَوْ تَبَيَّنَ بُطْلَانُ الْعِشَاءِ وَقَعَ مَا صَلَّاهُ نَفْلًا مُطْلَقًا

Ertinya: “Dan jikalau ternyata batal solat Isyaknya maka jadilah solat yang dia kerjakan itu sebagai sunat mutlak.” (Kitab Haysiah Al-Bujairimi ‘Ala Al-Khatib)

Begitu juga jika dia baru sedar lepas selesai solat tarawih bahawa dia belum tunaikan solat Isyak atau esok harinya baru seorang itu teringat bahawa semalamnya dia hanya kerjakan solat tarawih tanpa mengerjakan solat Isyak maka solat tarawih yang telah dikerjakan itu tidak sah dan jadi ia sebagai sunat mutlak.

Dan afdal dikerjakan solat tarawih selepas menunaikan solat sunat Isyak tetapi sah tarawihnya jika dia tidak menunaikan solat sunat Isyak.

Berkata Dr Wahbah Az-Zuhaili:

ووقتها بعد صلاة العشاء وبعد سنتها قبل الوتر إلى طلوع الفجر الثاني، فلا تصح قبل صلاة العشاء، فمن صلى العشاء ثم التراويح، ثم ذكر أنه صلى العشاء محدثاً، أعاد التراويح؛ لأنها سنة تفعل بعد مكتوبة، فلم تصح قبلها، كسنة العشاء. وإن طلع الفجر، فات وقتها، ولا تقضى. وإن صلى التراويح بعد العشاء، وقبل سنتها، صح جزماً، ولكن الأفضل فعلها بعد السنة، على المنصوص.

Ertinya: “Dan waktu solat tarawih itu ialah selepas menunaikan solat Isyak dan selepas solat sunat Isyak sebelum dari solat witir sehingga terbit fajar yang kedua (fajar subuh). Maka tidak sah tarawih sebelum solat Isyak. Maka siapa yang kerjakan solat Isyak kemudian solat tarawih kemudian dia teringat bahawa dia solat Isyak dalam keadaan berhadas nescaya hendaklah dia ulangi solat tarawih itu kerana bahawasanya tarawih itu ialah sunat yang dikerjakan selepas yang fardu maka tidak sah dikerjakan sebelumnya. Dan jika telah terbit fajar maka habislah waktu solat tarawih. Jika dikerjakan solat tarawih selepas solat Isyak tetapi sebelum solat sunat Isyak necsaya sah ia akan tetapi yang afdal dikerjakan solat tarawih itu selepas sunat Isyak atas yang telah dinaskan.” (Kitab Al-Fiqh Al-Islami)

Maka jadilah waktu solat tarawih ini menyamai dengan solat witir kerana tidak sah solat witir bagi mereka yang belum menunaikan solat fardu Isyak maka jika seorang itu tidak sah solat Isyaknya maka solat witirnya juga tidak sah.

Berkata Syeikh Zakaria Al-Ansori:

(وَإِنْ صَلَّى الْعِشَاءَ وَأَوْتَرَ فَبَانَ بُطْلَانُ عِشَائِهِ لَمْ يَصِحَّ وِتْرُهُ) تَبَعًا لِلْعِشَاءِ (وَكَانَ نَافِلَةً) كَمَا لَوْ صَلَّى الظُّهْرَ قَبْلَ الزَّوَالِ غَالِطًا

Ertinya: “Dan jika seorang itu solat Isyak kemudian solat witir lalu ternyata solat isyaknya batal maka tidak sah witirnya kerana mengikut witir itu bagi Isyak dan jadilah witirnya tadi sebagai sunat mutlak sama seperti seorang yang tersalah solat Zuhur sebelum waktu (yakni tidak sah solat sunat selepasnya).” (Kitab Asnal Matolib)

Dan yang afdal ialah dikerjakan solat tarawih itu selepas menunaikan solat sunat Isyak dan dilakukan solat tarawih itu sebelum solat witir kerana mengikut amalan para sahabat dan salafusoleh.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:

ذَهَبَ جُمْهُورُ الْفُقَهَاءِ إِلَى أَنَّ وَقْتَ صَلاَةِ التَّرَاوِيحِ مِنْ بَعْدِ صَلاَةِ الْعِشَاءِ، وَقَبْل الْوِتْرِ إِلَى طُلُوعِ الْفَجْرِ؛ لِنَقْل الْخَلَفِ عَنِ السَّلَفِ، وَلأِنَّهَا عُرِفَتْ بِفِعْل الصَّحَابَةِ فَكَانَ وَقْتُهَا مَا صَلَّوْا فِيهِ، وَهُمْ صَلَّوْا بَعْدَ الْعِشَاءِ قَبْل الْوِتْرِ؛ وَلأِنَّهَا سُنَّةٌ تَبَعٌ لِلْعِشَاءِ فَكَانَ وَقْتُهَا قَبْل الْوِتْرِ

Ertinya: “Telah berjalan oleh jumhur fuqahak kepada bahawasanya waktu solat tarawih itu ialah selepas solat Isyak dan sebelum solat witir sampailah terbit fajar kerana ialah yang diambil dari amalan para salaf dan kerana sungguhnya diketahuinya dengan perbuatan para sahabat r.a. maka adalah waktunya ialah waktu yang mereka itu solat padanya yaitu mereka menunaikan solat tarawih itu selepas solat Isyak sebelum solat witir dan kerana sungguhnya ialah solat sunat yang mengikut bagi solat Isyak maka adalah waktunya sebelum solat witir.”

Solat tarawih di tengah malam

Dan yang afdal ialah mengerjakan solat sunat tarawih ini pada satu pertiga malam atau tengah malam sebagaimana diriwayatkan para sahabat mengerjakannya.

Tersebut pada Kitab Al-Mausu’atul Fiqhiyah:

وَذَهَبَ الْحَنَفِيَّةُ وَالشَّافِعِيَّةُ إِلَى أَنَّهُ يُسْتَحَبُّ تَأْخِيرُ التَّرَاوِيحِ إِلَى ثُلُثِ اللَّيْل أَوْ نِصْفِهِ، وَاخْتَلَفَ الْحَنَفِيَّةُ فِي أَدَائِهَا بَعْدَ نِصْفِ اللَّيْل، فَقِيل يُكْرَهُ؛ لأِنَّهَا تَبَعٌ لِلْعِشَاءِ كَسُنَّتِهَا، وَالصَّحِيحُ لاَ يُكْرَهُ لأِنَّهَا مِنْ صَلاَةِ اللَّيْل وَالأْفْضَل فِيهَا آخِرُهُ

Ertinya: “Ulamak Mazhab Hanafi dan Syafie berpendapat bahawa disunatkan melambatkan solat tarawih sampai satu pertiga malam atau separuh malam. Dan telah berkhilaf oleh ulamak Mazhab Hanafi pada menunaikannya selepas tengah malam maka berkata setengahnya makruh kerana sungguhnya tarawih itu mengikut bagi solat Isyak sama seperti sunat isyak. Dan pendapat yang sahih tidak dimakruhkan kerana ia termasuk solat malam dan yang afdal ialah lewat malam.”

Dan apa yang berlaku di tempat kita iaitu solat tarawih pada awal malam selepas solat Isyak adalah harus kerana mudah datang sekalian orang untuk menunaikannya pada segala masjid.

Wallahua’lam. – HARAKAHDAILY 16/3/2025

Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!

Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!



Source link

OR

Scroll to Top