Solberg kejutkan bintang WRC di Estonia

Solberg kejutkan bintang WRC di Estonia


Tallinn: Nama Oliver Solberg mungkin belum popular seperti jaguh rali dunia, namun pemandu muda Sweden itu mencuri tumpuan apabila muncul pendahulu mengejut Rali Estonia, saingan pusingan kelapan Kejohanan Dunia Rali (WRC), selepas aksi hari kedua semalam.

Solberg, 23, yang juga anak kepada juara dunia 2003, Petter Solberg, menyertai perlumbaan ini atas jemputan Toyota untuk bertanding dalam kategori utama WRC1, meskipun ketika ini sedang mendahului kejuaraan dunia dalam kategori WRC2.

Walaupun turun sebagai ‘underdog’, Solberg membuktikan dia bukan sekadar pelengkap cabaran apabila menjuarai tiga daripada lapan laluan khas perlumbaan semalam (SS2, SS4, SS7) dan kini mengatasi jaguh tuan rumah, Ott Tanak (Hyundai) dengan kelebihan 12.4 saat.

“Hari ini(semalam) adalah antara hari terbaik dalam hidup saya,” kata Solberg, yang semakin mendapat perhatian pasukan pengeluar utama.

Sementara itu, pendahulu keseluruhan WRC, Elfyn Evans dari Toyota, bergelut di Estonia apabila menamatkan hari kedua di tangga ketujuh, 41.4 saat di belakang Solberg.

Pelumba dari Wales itu perlu mengutip sebanyak mungkin mata untuk menjarakkan diri daripada pencabar terdekat, juara dunia lapan kali, Sebastien Ogier, yang tidak bertanding di Estonia tahun ini.

Dengan Ogier memilih untuk tidak menyertai semua pusingan musim ini, pelumba tempatan Estonia, Tanak kini di tempat ketiga keseluruhan sekali gus melihat ini sebagai peluang terbaik untuk merapatkan jurang mata dengan dua pesaing utamanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top