mdroji@bh.com.my
Kuching: Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN ke-43 mengenai Tenaga (SOME) yang sedang berlangsung di sini hingga Rabu ini menjadi pemangkin kepada usaha Malaysia untuk meneroka inovatif teknologi tenaga dan membina infrastruktur tenaga yang lebih kukuh.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia selaras dengan tema mesyuarat itu – Memperkasakan ASEAN: Merapatkan Sempadan, Membina Kemakmuran, yang menjadi platform terbaik pertukaran idea yang produktif.
Fadillah berkata, penyertaan rakan dialog daripada pertubuhan antarabangsa amat dialu-alukan bagi melahirkan idea untuk membantu usaha negara ke arah meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui.
“Kepakaran, kemajuan teknologi dan sokongan pelaburan daripada rakan dialog dan organisasi antarabangsa adalah penting untuk membantu kami merungkai kerumitan penyahkarbonan, meneroka inovatif teknologi tenaga dan membina infrastruktur tenaga yang lebih teguh.
“Menerusi kerjasama pelbagai aspek ini yang secara kolektif mempercepatkan kemajuan kami ke arah penggunaan tenaga masa depan yang lebih bersih, hijau dan selamat,” katanya dalam ucapan pada Majlis Makan Malam meraikan delegasi SOME Ke-43 di sini, malam ini.
Turut hadir, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Mad Zaidi Mohd Karli.
Mesyuarat yang dihoskan oleh PETRA sempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia itu membabitkan semua 10 negara anggota ASEAN iaitu Malaysia, Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, dengan Timor-Leste sebagai pemerhati.
Mereka disertai oleh rakan dialog China, Korea Selatan, Jepun, Russia, Amerika Syarikat dan wakil daripada Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa, Agensi Tenaga Antarabangsa, Institut Penyelidikan Ekonomi ASEAN dan Asia Timur, Bank Pembangunan Asia dan Bank Dunia.
Fadillah yang juga Menteri PETRA berkata, pegawai kanan mengenai tenaga berkumpul di Kuching bukan sahaja untuk mencapai matlamat tenaga kolektif, tetapi juga untuk menikmati peluang untuk berhubung dan menghargai semangat perkongsian ASEAN.
Beliau berkata, SOME ke-43 menandakan satu lagi langkah penting ke arah usaha meningkatkan kerjasama tenaga, menangani cabaran yang berkembang dan merebut peluang baharu dalam landskap tenaga global.
Menurutnya, Malaysia konsisten dalam komitmennya terhadap peralihan tenaga dan sedang giat berusaha ke arah meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui, meningkatkan kecekapan tenaga dan meneroka teknologi terkini penyelesaian untuk ekonomi rendah karbon.
“Kami percaya dengan bekerja berganding bahu, berkongsi ilmu dan memanfaatkan kekuatan antara satu sama lain, kita boleh membuka potensi besar dalam sektor tenaga dan memacu perubahan yang bermakna,” katanya.
Mengenai penganjuran SOME ke-43 di Kuching, beliau berkata, ia bertepatan dengan pencapaian Sarawak dalam memanfaatkan sumber asli semula jadi untuk menjana kuasa hidro yang boleh diperbaharui.
© New Straits Times Press (M) Bhd