Songlap kotak kertas kerajaan, penjawat awam direman 7 hari

Songlap kotak kertas kerajaan, penjawat awam direman 7 hari



am@hmetro.com.my

Melaka: Penjawat awam disyaki terbabit penjualan kotak kertas milik kerajaan secara tidak sah direman tujuh hari bagi membantu siasatan.

Pemangku Ketua Polis Melaka Datuk Md Nazri Zawawi berkata, perintah reman sehingga 26 Februari ini dikeluarkan Mahkamah Majistret Ayer Keroh selepas permohonan dibuat polis mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau berkata, lelaki berusia 46 tahun yang berkhidmat di bahagian bekalan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka ditahan jam 3 petang, Rabu lalu.

Katanya, penahanan suspek susulan penangkapan seorang lelaki berusia 39 tahun yang juga penolong pengurus sebuah syarikat pembuatan kertas kitar semula pada 18 Februari lalu.

“Suspek dibawa ke pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik untuk ujian saringan air kencing dan didapati positif dadah methamphetamine,” katanya tadi.

Harian Metro kelmarin melaporkan polis menahan dua lelaki termasuk penjawat awam yang berkhidmat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, dipercayai terbabit penjualan kotak kertas milik kerajaan secara tidak sah membabitkan kerugian kira-kira RM61,450.

Penahanan itu susulan penemuan 1,845 kotak kertas A4 tertera perkataan ‘Hak Milik Kerajaan Malaysia (tidak boleh dijual beli) pada pemeriksaan Op Lusuh Bersepadu di syarikat kitar semula kertas di Taman Teknologi Cheng, di sini.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top