Soon Huat (kiri) dan Shevon akan berdepan pasangan Thailand dalam aksi suku akhir Terbuka Indonesia di Jakarta pada Jumaat. Foto Agensi
BEREGU campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai hanya memerlukan 33 minit untuk mara ke saingan suku akhir Terbuka Indonesia di Jakarta pada Khamis.
Pasangan suami isteri itu dilihat mudah untuk membenam cabaran pasangan tuan rumah, Amri Syahnawi-Nita Violina Marwah 21-7, 21-12 di Istora Senayan.
Di sebalik kemenangan tersebut pasangan nombor lima dunia itu berdepan dengan cabaran angin di gelanggang, namun ia bukan alasan untuk terus mengekalkan momentum dalam saingan kelompok lapan terbaik pada Jumaat.
“Sebenarnya, gelanggang ini agak sukar untuk dikawal. Kita perlu menyesuaikan diri dan setiap gelanggang adalah berbeza. Jadi itu juga menjadi salah satu fokus kami setiap kali turun ke gelanggang.
“Kami bermain di dua gelanggang berbeza semalam (Rabu) dan hari ini (Khamis), jadi kami perlu menyesuaikan diri dengan cepat,” ujar Shevon.
Menariknya dalam saingan suku akhir nanti, Soon Huat-Shevon berpeluang melunas dendam ke atas pilihan keenam dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran.
Mereka akan bertemu buat kali kelima untuk musim ini dan sudah pasti gandingan negara mahu menebus kecewa atas kekalahan di peringkat sama pada Terbuka Singapura minggu lalu.
“Secara keseluruhan kami bermain agak konsisten dan bagus walaupun lawan bermain dengan baik dan cuba memecahkan rentak kami.
“Namun kami berjaya mengekalkan momentum serta mengatasi tekanan itu dan berharap ia dapat diteruskan untuk aksi seterusnya,” ujar Shevon.