Shevon (kanan) dan Soon Huat akan berdepan pasangan China dalam aksi suku akhir Seluruh England pada Jumaat. Foto Agensi
BEREGU campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai menempah slot ke suku akhir kejohanan badminton Seluruh England di Birmingham sebentar tadi.
Kejayaan tersebut diraih selepas pasangan suami isteri itu menumpaskan Alexander Dunn-Julie Macpherson dari Scotland.
Dalam aksi di Utilita Arena itu, mereka yang diletakkan sebagai pilihan pertama kejohanan menang straight set 21-9, 21-10 dalam masa 25 minit aksi.
Soon Huat-Shevon yang berstatus ketiga dunia, dilihat tidak perlu bekerja keras apabila mengawal gelanggang dengan tenang dalam kedua-dua set permainan.
Menanti pasangan dua sejoli itu dalam saingan suku akhir pada Jumaat ialah Jiang Zhen Bang-Huang Dong Ping yang juga pilihan kelima kejohanan.
Pasangan China itu melangkah ke suku akhir selepas mengalahkan gandingan Taiwan, Ming Che Lu-Hung En-Tzu 21-13, 21-17.