Shevon (depan) dan Soon Huat kalah kepada pasangan Thailand dalam aksi suku akhir Terbuka Singapura pada Jumaat. Foto Agensi.
IMPIAN beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai untuk melangkah ke saingan separuh akhir Terbuka Singapura tidak kesampaian.
Ia selepas pasangan suami isteri itu tumpas di tangan Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand dalam pertarungan sengit aksi suku akhir di Stadium Tertutup Singapura.
Soon Huat-Shevon yang merupakan pilihan pertama kejohanan berstatus Super 750 itu bermula dengan langkah kanan apabila mengungguli set pertama 21-19.
Skrip bagaimanapun berubah apabila Dechapol-Supissara memperkemaskan corak permainan sebelum menang 22-20 untuk mengheret aksi ke set penentuan.
Pasangan lawan kemudian meneruskan momentum positif apabila mengesahkan kemenangan 21-17 dalam masa 64 minit.
Keputusan tersebut menyaksikan Dechapol-Supissara melebarkan rekod kemenangan ke atas Soon Huat-Shevon kepada 4-3.